PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo mahu tragedi rusuhan penyokong bola sepak yang setakat ini telah mengorbankan 129 orang di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur disiasat secara menyeluruh.
Pada masa sama, Joko Widodo atau Jokowi mahu Liga 1 bagi musim 2022-2023 dihentikan buat sementara bagi memberi laluan kepada siasatan dijalankan.
Malah, beliau juga telah mengarahkan Kementerian Belia dan Sukan; Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan polis melakukan penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan pertandingan dan prosedur keselamatan.
Jokowi dalam hantaran video turut mahu Kementerian Kesihatan dan Gabenor Jawa Timur memberikan perkhidmatan serta layanan sebaiknya kepada mangsa-mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital.
“Saya telah meminta pihak polis melakukan siasatan dan segera memberi laporan berhubung kejadian ini.
“Saya juga mengarahkan PSSI menghentikan sementara Liga 1 sehingga siasatan dan prosedur keselamatan dilakukan.
“Saya kesal dengan berlakunya tragedi ini dan berharap ini adalah tragedi terakhir bola sepak di tanah air. Jangan ada lagi tragedi kemanusiaan seperti ini di masa hadapan.
“Semangat kesukanan, rasa kemanusiaan dan rasa persaudaraan bangsa Indonesia harus terus kita jaga bersama,” katanya.
Baca artikel berkaitan: 127 orang maut, rusuhan penyokong di Malang

Beliau berkata demikian dalam hantaran video dimuat naik ke media sosialnya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Umum PSSI Mochamad Iriawan mengumumkan Liga 1 musim 2022-2023 digantung selama seminggu, manakala Arema FC dilarang menjadi tuan rumah untuk baki perlawanan.
“Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata pasukan penyiasat PSSI dihantar ke Malang dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menyiasat kes yang mencalarkan imej bola sepak Indonesia.
Seramai 129 orang maut dan jumlah tersebut difahamkan terus meningkat dalam rusuhan selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Dua anggota polis turut terkorban dalam insiden tersebut.
Rusuhan yang berlaku malam tadi itu merupakan antara insiden paling tragis dalam dunia bola sepak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

