DEWAN Ulamak Pas menyarankan semua pihak untuk menyelesaikan isu rakyat terlebih dahulu berbanding tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Dewan Ulamak Pas, Senator Datuk Ahmad Yahya berkata, pihaknya juga berpendapat kerajaan perlu memastikan penggal pemerintahan berakhir sebelum melaksanakan pilihan raya nanti.
Tegas beliau, tanggungjawab menjaga keperluan dan kebajikan rakyat adalah perkara yang perlu diutamakan ketika ini.
“Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa semua parti politik tidak mengutamakan kepentingan berpolitik semata-mata hingga sanggup tidak mempedulikan kepentingan rakyat dalam negara.
“Desakan yang berterusan terhadap pembubaran Parlimen perlu diteliti semula atas dasar kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik semata-mata supaya urusan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang lebih utama hendaklah terlebih dahulu diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca lagi: Kata dua buat Pas, BN atau PN? – Zahid Hamidi
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, unjuran keadaan cuaca yang tidak menentu serta musim peralihan monsun merupakan tanda awal kepada perlunya kesiapsagaan yang rapi menghadapi kemungkinan bencana banjir yang besar.
Begitupun, jelas beliau, dalam keadaan yang tidak menentu ada pihak yang masih tegar mahu melaksanakan pilihan raya ketika rakyat sedang diselubungi kebimbangan.
Tegas beliau, semua pihak diingatkan tentang banjir puing yang dahsyat melanda beberapa negeri termasuklah negeri di Pantai Barat pada penghujung tahun lalu.
“Walaupun banjir sebesar itu jarang sekali berlaku, namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, unjuran kebarangkalian berlakunya banjir-banjir besar oleh agensi tertentu tetap berasas.
“Rakyat pernah dikecewakan dengan perlaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 ketika rakyat dan negara masih dihimpit pandemik Covid-19 ketika itu.
“Lebih mendukacitakan adalah pelaksanaan PRN tersebut dirujuk menjadi punca penularan sporadik kes yang kembali mencatatkan peningkatan selepasnya,” katanya.
Ahmad turut mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap degil yang akan menyebabkan ‘rosak susu sebelanga’.
Katanya, ahli politik tidak mengira latar belakang seharusnya mengambil iktibar terhadap rantaian isu yang berlaku dalam negara ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

