BAJET 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan hari ini disifatkan sebuah belanjawan yang mencakupi kepentingan seluruh Keluarga Malaysia untuk tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2023 yang dipandu agenda responsif, bertanggungjawab dan reformis itu memberi tumpuan kepada semua golongan.
Kata beliau, sesuai dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, tiada satu pun golongan yang ketinggalan termasuk B40, M40, golongan belia, wanita mahu pun orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, Perdana Menteri berkata, bajet 2023 itu juga menumpukan kepada komuniti perniagaan bagi pemulihan ekonomi.
Bukan itu sahaja, beliau memaklumkan, Sabah dan Sarawak turut tidak dilupakan dengan banyak peruntukan disebutkan secara khusus buat kedua-dua wilayah itu.
“Bersesuaian dengan tema, bajet ini memberi tumpuan dan mencakupi seluruh Keluarga Malaysia.
“Semua golongan menerima faedah daripada bajet terbesar dalam sejarah ini.
“Seperti contoh, selama ini ramai anggap kumpulan M40 ditinggalkan tetapi ia disebutkan dengan jelas untuk Bajet 2023, begitu juga golongan wanita.
“Ia jelas untuk kemakmuran rakyat dalam usaha mensejahterakan Keluarga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2023.
Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023: Berita gembira buat sektor pendidikan
Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September tahun lepas.
Ia juga merupakan belanjawan ketiga yang dibentang Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.
Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ menyaksikan sebanyak RM372.3 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.
Malah, peruntukan tersebut juga menyaksikan peningkatan ketara berbanding RM332.1 bilion untuk Bajet 2022.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook berkata, bajet itu juga menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara.
Katanya, ia supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang unggul setelah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
“Semoga usaha yang berterusan akan menjadikan negara kita lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari mendatang,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

