PAKATAN Harapan (PH) Perak berbesar hati sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perkara itu menurut Presiden PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dilihat akan memberi nilai tambah kepada pakatan berkenaan berikutan ketokohan Anwar dalam arena politik negara.
Begitupun, Mujahid berkata, keputusan sama ada Anwar akan bertanding di Parlimen Tambun akan diumumkan pada Konvensyen Nasional gabungan itu yang dijadualkan berlangsung di Perak 29 Oktober ini.
“Kita telah dimaklumkan begitu dan selaku Pengerusi PH Perak, saya amat mengalu-alukan beliau bertanding di kerusi itu pada PRU-15.
“Pencalonannya untuk bertanding di kerusi berkenaan akan memberi penghormatan besar kepada kami di Perak, malah ketokohan beliau akan menguntungkan PH negeri ini.
“Namun, sama ada Anwar bertanding di Parlimen Tambun atau tidak, ia hanya akan diumumkan pada konvensyen itu nanti,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Baca lagi: PD menanti, Tambun menunggu, Anwar dalam dilema pilih kerusi PRU-15?
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau difahamkan akan dikekalkan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Parti Buntar yang disandangnya ketika ini.
Namun, jelas beliau, pencalonan itu adalah di bawah kuasa peringkat kerusi masing-masing untuk menentukan di mana calon akan bertanding.
“Insya-Allah, yang saya tahu hingga jam 11.49 malam ini (malam tadi), begitulah adanya.
“Bagaimanapun, ia bawah kuasa peringkat parti masing-masing untuk menentukan kerusi mana yang kita akan bertanding,” katanya.
Pada 11 Ogos lalu, Anwar ketika ditemui media di Ipoh memaklumkan memang terdapat cadangan untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15 ini.
Pada masa sama katanya, pimpinan PKR Port Dickson juga merayu supaya beliau kekal bertanding sekali gus mempertahankan kerusi tersebut.
Bagaimanapun, beliau belum memutuskan sama ada Port Dickson atau Tambun kerana fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.
“Anda fikir macam mana? Kalau anda kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan.
“PKR Cabang Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” katanya.
Untuk rekod, Parlimen Tambun ketika ini disandang oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam PRU-14, Ahmad Faizal menang kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon UMNO, Datuk Seri Husni Hanadzlah dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

