KERAJAAN bersetuju meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam sehingga Disember depan.
Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lalu kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ronald, subsidi berkenaan diteruskan pada kadar 80 sen bagi sekilogram ayam dan 8 sen untuk sebiji telur.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit yang dikekalkan pada kadar RM9.40 sekilogram.
Pada masa sama, Ronald memberitahu, harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit pula masing-masing turut dikekalkan pada kadar 45, 43 dan 41 sen sebiji di Semenanjung.
Jelasnya, pelaksanaan subsidi itu akan melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM573.96 juta.
“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan.
Baca artikel berkaitan: Kabinet setuju naikkan subsidi telur ayam, harga kawalan telur kekal
“Ia membabitkan kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos anak ayam atau Day Old Chick; kos logistik; kos pekerja; kos utiliti dan kos ubat-ubatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Ronald memberitahu, pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank seperti mekanisme sedia ada melibatkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator dan penternak kontrak.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan terus memastikan proses pembayaran subsidi berjalan lancar dan penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi memastikan kelangsungan pengeluaran di peringkat ladang.
“Jumlah peruntukan subsidi ayam dan telur ayam yang telah diperuntukkan oleh kerajaan setakat ini dari Februari hingga September berjumlah RM1.233 bilion.
“Setakat 4 Oktober, sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion telah diluluskan dengan semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan.
“Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

