PERTUKARAN tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama telah memberi dampak buruk terhadap sosio-politik-ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Parlimen pada penggal ke-14 kali ini melakarkan warna suram kepada landskap politik negara.
Kata beliau, belum pernah terpateri dalam sejarah apabila berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti dalam penggal sama.
Begitupun, Perdana Menteri berkata, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa ke meja rundingan bagi meredakan keadaan.
“Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan. Kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan.
“Natijah semangat Keluarga Malaysia berteraskan Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran diterjemahkan melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.
“Ternyata, limpahan hikmah dan rahmat-Nya memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Terima kasih seluruh Keluarga Malaysia – PM
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena pembubaran Parlimen yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada pukul 3 petang tadi.
Berkat kesepakatan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan beberapa transformasi yang signifikan.
Antaranya, jelas beliau adalah pindaan Perlembagaan berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Anti Gangguan Seksual.
Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas Perdana Menteri memaklumkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
Susulan itu, Perdana Menteri mengesyorkan semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Langkah itu, kata beliau, bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun beberapa negeri telah memutuskan tidak membubarkan DUN masing-masing.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

