PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah pun tiba di bangunan Perdana Putra tengah hari ini bagi menyampaikan perutusan khas yang dijadualkan pukul 3 petang ini.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri hanya memaklumkan “Pukul 3 (petang) saya umum” ketika ditanya mengenai isi kandungan perutusan khas itu.
Ditanya perutusan khas itu mengenai apa, Ismail Sabri hanya berkata: “adalah..”.
Difahamkan, kenderaan yang membawa Perdana Mneteri kelihatan memasuki bangunan Perdana Putra pada kira-kira pukul 1.35 tengah hari.
Ismail Sabri sebelum ini dijadualkan menghadiri Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang ini.
Dalam kenyataan ringkas di media sosialnya, Perdana Menteri memaklumkan akan menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen utama negara.
Perutusan khas tersebut berkemungkinan berkaitan dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Baca artikel berkaitan: Perutusan khas PM 3 petang ini, Parlimen bakal bubar?
Kini, seluruh tumpuan kepada perutusan khas Ismail Sabri petang ini berhubung kedudukan politik semasa negara.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.
Bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun begitu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilaporkan mengesahkan tidak menerima apa-apa pemakluman mengenai pembubaran Parlimen.
Sehubungan itu, beliau berkata, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas akan berlangsung seperti dijadualkan esok termasuk membahaskan Bajet 2023.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

