MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 Okt untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes itu hari ini yang dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai, yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib.
Terdahulu, Kogilambigai memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk mengkaji permohonan bekas perdana menteri itu bagi kebenaran semakan kehakiman.
“Kami memerlukan masa untuk mengkaji penghujahan dan kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada AGC akan mengemukakan sebarang bantahan berhubung perkara itu,” katanya sambil menambah tiada keperluan mendesak berhubung perkara itu kerana Parlimen telah dibubarkan dua hari lepas.
Sebaliknya, Muhammad Shafee berkara perkara itu amat mendesak kerana terdapat isu perundangan yang serius yang akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk sama ada Najib boleh dicalonkan dan hadir di pusat penamaan calon di mana beliau akan bertanding.
“Saya cadangkan agar permohonan itu didengar pada Jumaat ini (14 Okt),” kata peguam itu.
Baca artikel berkaitan: Permohonan Najib hadiri Sidang Parlimen ditolak Penjara
Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.
Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.
Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.
Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.
Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

