Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

NEGARA perlu meneroka segmen baharu dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi terus berada dalam keadaan baik.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, antara segmen baharu boleh diterokai adalah ekonomi digital yang mampu membawa kepada pulangan lumayan.

Katanya, negara tidak lagi boleh mengharapkan kepada segmen tradisi yang dilihat tidak lagi mampu membantu kepada pertumbuhan ekonomi.

“Kalau tengok jumlah KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) suku kedua dengan suku ketiga, kalau jumlah dia sama pertumbuhan akan jadi 10 peratus.

“Jadi sebab itu kita memang sudah jangka pertumbuhan itu akan jadi double sikit, sebab kalau sama memang 10 peratus.

“Jadi bila 14 peratus ini pertumbuhan dia daripada suku dua ke suku ketiga ini dia naik lima peratus, memang tinggi, jumlah dia memang agak tinggi,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

Baca artikel lain: Prestasi KDNK bukti keberkesanan dasar kerajaan tangani COVID-19 – Tengku Zafrul

Terdahulu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2022 (S3 2022) apabila mencapai pertumbuhan 14.2 peratus, lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua 2022 (S3 2022).

Menurutnya, walaupun terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga tahun 2021, pertumbuhan juga didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.

Selain itu, eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) selain pemulihan pelancongan ke dalam negeri memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.

Mengikut sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Mengulas lanjut, Prof Ahmed Razman berkata, sekiranya dilihat daripada pola pada tahun 2019 dan 2020, suku ketiga akan menunjukkan peningkatan berbanding suku tahun kedua.

Namun begitu, katanya lagi, suku keempat nanti kalau jumlah pertumbuhan masih lagi kekal, ekonomi negara hanya akan tumbuh antara satu ke dua peratus sahaja.

“(Kerajaan) kena sentiasa meneroka ekonomi baharu macam ekonomi digital, maknanya sumber hasil yang pelbagai itu difokuskan, jangan mengharapkan sumbangan daripada sektor-sektor tradisi,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram