PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan digesa untuk melepaskan jawatan masing-masing susulan kekalahan memalukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Naib Ketuka UMNO bahagin-bahagian Malaysia, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Yunus, penolakan jelas rakyat terhadap UMNO kali ini adalah kerana mereka bimbang dan tidak yakin dengan parti di bawah pimpinan Ahmad Zahid.
“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin.
“Namun penolakan jelas rakyat terhadap UMNO atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau terpaksa diambilkira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat seterusnya mengembalikan UMNO di hati mereka,” katanya.
Baca lagi: Zahid perlu bertanggungjawab, letak jawatan – Wanita UMNO WP
Mengulas lanjut, Muhammad Yunus berkata, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat juga perlu melepaskan jawatannya sebagai tanda betapa beliau bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh BN.
Jelas beliau, kegagalan Mohamad mengotakan beberapa janji termasuk mengekalkan penyandang-penyandang Ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable Likeable, WALI’ yang diwar-warkan umum telah mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan.
“Maka yang demikian, selari dengan kenyataan medianya sebelum ini bahawa akan melepaskan jawatan andainya BNtewas, hendaklah dikotakan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Yunus berkata, sebarang perbincangan dan usaha menyatukan parti UMNO dan BN dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak diterima.
Tegas beliau, hal itu kerana UMNO adalah parti yang berasaskan perjuangan menegak syiar agama dan perjuangan masa depan Melayu dan bumiputera.
Justeru, katanya persefahaman dengan PH yang dikuasai DAP adalah suatu pengkhianatan paling besar dan mereka yang bersekongkol dengan usaha tersebut tidak boleh dikompromi dan ditolak parti.
Selain itu, Muhammad Yunus berkata, semua pemimpin-pemimpin UMNO yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.
Ujar beliau, penyandang kerusi Parlimen yang dikuasi UMNO sebelum ini tetapi dinafikan untuk kembali bertanding juga harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang tewas tipis di kubu kuat PH di Sungai Buloh berkata, UMNO perlu melakukan reformasi dalam parti dengan kadar segera.
Senada dengan ramai pemimpin UMNO yang lain, Khairy turut mendesak Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.
“Apabila kalah dalam peperangan, panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab.
“Lebih-lebih lagi apabila strategi perang yang diatur oleh panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur,” katanya menerusi ciapan di Twitter petang tadi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

