Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

‘SAYA ke office (pejabat).. di (Jalan) Gasing. Lepas itu balik rumah.”

Demikian kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara ringkas ketika ditemui media di kediamannya di Kajang.

Calon Perdana Menteri PH itu meninggalkan kediamannya sekitar pukul 11.05 pagi tadi dipercayai untuk ke pejabat beliau di Petaling Jaya.

Anwar bagaimanapun tidak memberi sebarang respons apabila ditanya sama ada beliau akan pergi ke Istana Negara hari ini.

Bagaimanapun, memetik laporan BH Online, Presiden PKR itu difahamkan bergerak ke Hotel Seri Pacific di ibu negara dipercayai untuk bertemu ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Penentuan siapa bakal Perdana Menteri Ke-10 seterusnya membentuk kerajaan akan terjawab hari ini apabila semua akuan bersumpah dihantar ke Istana Negara sebelum pukul 2 petang.

BH Online turut melaporkan 30 ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin PH atau Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Perdana Menteri.

Baca artikel berkaitan: Anwar bimbang sentimen, retorik perkauman diapikan

Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani satu akaun bersumpah (SD) pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada Agong sebelum jam 2 petang ini.

Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi. Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram