SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan telah membuka sebanyak 12 kertas siasatan berhubung hantaran berbaur provokasi di media sosial.

Pengerusi Interim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, proses siasatan sedang dijalankan termasuklah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes berkenaan.

Tegas beliau, MCMC juga turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan-kandungan berbentuk provokasi itu. 

“MCMC mendapati terdapat pengurangan dalam penyebaran berita palsu dan berbaur provokasi dalam talian berbanding dengan tempoh kempen semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hasil daripada pemantauan yang dijalankan.

“MCMC juga turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan-kandungan berbemtuk provokasi ini. 

“Sehingga kini, sejumlah 101 hantaran provokasi telah dilaporkan dan kesemua hantaran berkenaan telah diturunkan. 

“Pihak MCMC menghargai kerjasama TikTok dan Instagram atas kepantasan mereka dalam menurunkan kesemua kandungan yang telah dilaporkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca lagi: Jangan bangkit sentimen kebencian, provokasi terhadap institusi raja, kaum dan agama – MCMC

Mengulas lanjut, Mohamad Salim berkata, MCMC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menular semula kandungan-kandungan lama yang telah diturunkan atau akaun yang telah dinyahhapus. 

Jelas beliau, berdasarkan laporan sehingga 23 November, Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia PDRM-MCMC telah menerima sebanyak 36 aduan daripada orang ramai.

Katanya, 20 daripada aduan itu telah diselesaikan melalui tindakan administratif iaitu sama ada melalui penurunan kandungan dan penafian di portal Sebenarnya.my.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diseru untuk menghormati perbezaan pandangan dan pendapat selain menerima kepelbagaian dan inklusiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Mohamad Salim menambah, MCMC sedang bertindak dan telah mengerahkan pasukannya bersiap- siaga sepanjang masa dan boleh dihubungi melalui saluran-saluran yang tersedia sekiranya perlu membuat sebarang aduan. 

Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/; talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di [email protected] Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram