SEORANG pemimpin PKR meluahkan kekecewaan dipercayai ditujukan kepada pentadbiran kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu puisi yang dimuatnaik di Facebook, Hassan Abdul Karim memberi bayangan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menggadaikan prinsip demi kuasa.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam puisi bertajuk ‘Ku Simpan Risalah Reformasi di dalam Peti’, beliau kini ‘malu’ dengan diri sendiri.
Malah, dalam puisi berkenaan, Hassan juga mengakui ‘malu’ untuk mengungkapkan kata-kata ‘keramat’ reformasi yang dilaunkan selama ini.
Hal demikian kerana, kata Hassan dalam puisi beliau merasakan telah ‘tewas’ apabila menang tanpa integriti seperti berlaku hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Hassan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 31,558 undi.
Beliau sebelum ini pernah menyeru Anwar supaya membentuk Kabinet yang bersih daripada gejala rasuah dan pecah amanah.
Baca artikel berkaitan: Anwar pengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan
Hassan juga memohon Anwar supaya tidak melantik ahli-ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah dalam pertuduhan rasuah dan pecah amanah menyertai Kerajaan Perpaduan.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah melibatkan jutaan ringgit.
Berikut puisi penuh nukilan Hassan:
KUSIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini
HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

