‘Tak mungkin saya seleweng RM600 bilion, tidak takut disiasat’ – Muhyiddin

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

“TAK mungkin saya seleweng wang ini (dana RM600 bilion) kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.”

Penegasan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dana RM600 bilion yang didakwa diselewengkan sewaktu pentadbiran beliau.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak pasti daripada mana angka sebanyak RM600 bilion berkenaan dipetik namun merasakan ia kemungkinan merujuk kepada lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.

Lapan pakej rangsangan ekonomi itu telah beliau laksanakan sewaktu menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, sekiranya wang RM600 bilion tersebut diselewengkan, perkara berkenaan pasti diketahui melalui penemuan audit dibuat Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

Malah, kata beliau, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga pasti mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun beliau dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun lalu tetapi sehingga hari ini, perkara tersebut tidak berlaku.

“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk bukan fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion; pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion; moratorium bayaran pinjaman bank individu dan syarikat bernilai RM180 bilion; jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban ditanggung individu dan perniagaan.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin perlu contohi DAP, bukan ‘merengek’, ‘meroyan’ – Ahmad Zahid

“Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak takut untuk disiasat kerana tahu tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

Katanya, negara mempunyai sistam dan amalan standard untuk menjamin ketelusan serta akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan.

Beliau berkata, kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan dan jika terdapat penemuan mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

“Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan khususnya agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” jelas beliau.

Pada masa sama, Muhyiddin turut memberi pesanan kepada pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO supaya tidak menuding jari membuat tuduhan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari.

“Awak dah jadi kerajaan, act like a government (bertindak seperti kerajaan).

“Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This