Ketagihan Subsidi dan Ketagihan Harga Murah

Dari Penulis

SETIAP kali kita berbincang langkah untuk menangani kos sara hidup, subsidi dan harga yang murah pasti menjadi antara pilihan utama. Kita terperangkap dengan naratif lapuk dan salah – kerajaan beri subsidi kepada pengeluar, harga produk/perkhidmatan menjadi murah dan kos hidup rakyat turun. 

Ini adalah dongengan ekonomi. Sampai bila? Semua sedia maklum bahawa jumlah subsidi tahun 2021 sudah hampir mencecah RM80 bilion. Jumlah yang hampir sama dengan jumlah bayaran emolumen untuk semua kakitangan awam. Untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE), kita berhutang! 

Satu pembaziran yang amat merugikan. Kalau kita teruskan begini, adakah setiap tahun kita sanggup belanja RM80 bilion lagi untuk subsidi? Setiap tahun kita akan berhutang lagi untuk DE? Ini tidak mampan, kedudukan fiskal kita tidak akan boleh bertahan. Polisi ini akan membelit leher kita sendiri. Kita mesti cari jalan keluar yang lebih mampan. Menyelesaikan masalah. 

Subsidi adalah belanja hangus. Cara kita memberi subsidi umpama membuka paip air tanpa rancangan bila akan ditutup. Semua orang ambil air dari paip ini-yang miskin dan yang kaya, semua dapat.

Yang kaya tong airnya lebih besar, maka banyaklah air yang dia dapat. Air keluar tak berhenti. Di sepanjang paip terlalu banyak kebocoran. Ada yang nakal, ambil air percuma ini, botolkan dan jual semula. Tiada penghujungnya. Bil air melambung! Siapa yang tanggung? Banyak keperluan perbelanjaan lain terpaksa ditangguh atau dibatalkan. 

Kumpulan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meringankan kos sara hidup pastinya yang berpendapatan rendah. Data dengan jelas menunjukkan, pendapatan kumpulan ini tidak meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi. Jurang pendapatan antara T20 dan B40 semakin melebar. Kenapa pendapatan mereka rendah? Kenapa pendapatan mereka tidak meningkat dengan baik? Apakah sumber pendapatan mereka? 

Ketagihan harga murah adalah antara penyebab utama gaji dan upah untuk pekerja tidak mahir menjadi rendah dan malar. Murah adalah idaman semua. Untuk membolehkan harga murah, kita lambakkan ekonomi kita dengan tenaga buruh asing yang murah. Majikan kita ketagih buruh yang murah. Lambakan buruh asing mengasak keluar rakyat Malaysia dari kumpulan berpendapatan rendah dari mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan berkadaran dengan cara hidup rakyat Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Fokus elemen tangani cabaran kos sara hidup  

Penulis semasa memberi pandangan untuk kerajaan pertimbangkan dalam meringankan beban rakyat dalam program Bicara Naratif RTM.

Kadar upah didominasi oleh kadar upah buruh asing yang rata-rata jauh lebih rendah. Mereka bekerja di Malaysia tetapi kekal dengan cara hidup dan cara kerja dari negara asal mereka. Tak mengapa. Yang penting murah! 

Kita hilang punca, Dirty-Dangerous-Difficult (3D) sering menjadi alasan keramat untuk terus melayan ketagihan harga murah. Bekerja di restoran 3D? Bekerja sebagai pembersih bagunan 3D? Bekerja di pasar 3D? Bekerja di kilang 3D? Bekerja di ladang 3D? Bekerja di hotel juga 3D? Kalau tiada kawalan, kerja yang seharusnya sesuai untuk graduan baharu juga akan diasak. 

Sangat pelik, pemerhatian saya di negara maju mereka tidak kenal istilah 3D! Di mana-mana negara akan ada kumpulan masyarakat yang tidak mempunyai kemahiran yang tinggi. Namun pekerjaan untuk kumpulan kemahiran rendah tetap boleh diisi oleh rakyat mereka sendiri. 

Kadar upah setara dengan kos kehidupan setempat. Kerja di ladang mempunyai digniti. Teknologi menjadi pengganti kepada lambakan buruh asing. 

Kalaupun ada pekerja asing, mereka bekerja dan hidup dengan standard negara maju. Bukan membawa standard mereka. Ada peraturan dan standard yang jelas. Tiada yang tinggal 20 orang serumah! 

Ketagihan murah ini bukan sahaja menghalang pendapatan yang lebih baik untuk kumpulan berpendapatan rendah malah menghalang negara dari berganjak kepada ekonomi yang menggunakan teknologi terkini. 

Malaysia menjadi negara murah-tidak mampu menghasilkan produk yang memerlukan teknologi terkini. Semuanya berkait dengan ketagihan harga murah. Selagi harga murah menjadi sasaran, selagi itulah pendapatan kumpulan yang terbeban tidak meningkat dengan baik, selagi itulah kehidupan mereka terbeban. 

Perdana Menteri menegaskan kita perlu mencari pendekatan baharu untuk menyelesai masalah yang kita hadapi. Masalah kos sara hidup masalah yang lama. Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang mampan, tidak membebankan, yang produktif, tidak menghalang kemajuan negara, yang menyelesaikan masalah bukan simptom. Kita mesti berubah. 

MINDA UKM – subsidi dan murah bukan penyelesaian yang mampan. 

PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This