Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. GAMBAR: Facebook Abdul Hadi

PERIKATAN Nasional (PN) terutama Pas merupakan antara pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi di negeri-negeri yang ditadbirnya.

Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan tidak masuk akal sekiranya tauke dan syarikat judi menjadi penyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya dituduh sebagai ‘Taliban’.

Abdul Hadi turut menyifatkan ‘tauke’ judi itu sebagai sangat bodoh walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, tauke dan syarikat perjudian hanya layak bersama PH.

Menurut Abdul Hadi, hanya akal yang ‘berpusing’ sahaja boleh menerima tuduhan mengatakan bahawa pusat judi menyumbang kepada PN.

Kata beliau, sedangkan saham judi jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Sahamnya hanya naik semula apabila PH mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.

“Diikuti pula dengan pembentukan Kabinet yang tidak bersih kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi,” katanya dalam Minda Presiden Pas, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Cabutan khas perjudian turun kepada hanya lapan kali – Anwar

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Pas telah mengambil langkah menutup tempat perjudian yang diharamkan Islam dan mengadakan dialog dengan pemimpin semua agama apabila mula memerintah Kelantan.

Katanya, pemimpin agama itu turut memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.

Selepas itu, Abdul Hadi memaklumkan, Pas menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian dengan lesen kebenaran berjudi tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Jelasnya, pada masa itu, Menteri Kewangan adalah Perdana Menteri sekarang yang dilantik PH.

“Apabila kerajaan Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH walaupun dalam perkara yang hanya terkait dengan hak umat Islam.

“Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar berkata dana pilihan raya untuk parti ‘Melayu’ dan parti ‘Islam’ datang dari syarikat perjudian.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram