
MALAYSIA sudah mencapai tahap pengeluaran kendiri (SSL-Self Sufficiency Level) 104% untuk ayam dan 115% untuk telur ayam. Ertinya pengeluar dalam negara berkeupayaan mengeluarkan ayam dan telur ayam melebihi dari permintaan dalam negara. Selebihnya kita eksport, sebahagian besar ke negara jiran.
Apa sebenarnya punca kita berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dan telur ayam dalam negara? Ke mana perginya ayam dan telur ayam yang kita keluarkan? Mengapa kawalan harga dirasakan tindakan terbaik menyelesaikan kos sara hidup yang melibatkan ayam dan telur ayam?
Pengeluaran tinggi-permintaan seperti biasa (bukan musim perayaan) tetapi bekalan dalam negara tiada-harga meningkat. Bukankah ini satu fenomena pelik? Lebih pelik bila kita akan meningkatkan import telur ayam untuk menurunkan harga ayam. Sangat mengelirukan.
Kos sara hidup adalah masalah lama yang kita hadapi. Marilah kita menyahut saranan Perdana Menteri, kita perlu cara baharu menangani kenaikan kos sara hidup.
Kawalan harga adalah cara lama, lapuk, dan tidak menyelesaikan masalah. Jalan pendek mengimport akan membawa banyak masalah lain. Sasaran ‘harga murah’ menjerat kita dengan banyak masalah lain.
Paradigma ekonomi Malaysia mesti diselaraskan dengan matlamat pembangunan ekonomi. Kita berhasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi tetapi tindakan kita tidak ke arah itu.
Kemajuan ekonomi menuntut pembangunan pasaran yang sihat dan adil. Sebolehnya menjadi ‘sasaran umum’ (‘default target’) untuk semua produk dan perkhidmatan.
Pasaran yang sihat dan adil akan menghasilkan harga yang adil. Harga yang adil berkemungkinan murah dan berkemungkinan juga mahal. Ia tertakluk kepada faktor-faktor penawaran dan permintaan yang asli.
Kalau harga input pengeluaran meningkat disebabkan cuaca buruk, kenaikan kos pengangkutan, peperangan di negara pengeluar, kita seharusnya menerima bahawa harga adil akan meningkat.
Tindakan untuk menyekat kenaikan harga melalui ‘kawalan harga’ adalah tidak betul. Pengeluar akan bertindak, mengeksport (kalau boleh) atau mengurangkan pengeluaran mereka. Kegiatan penyeludupan akan meningkat. Tumpuan kita akan beralih kepada cabaran pelaksanaan untuk melaksanakan sesuatu yang tidak menyelesaikan masalah secara mampan.
Kita mesti mendidik rakyat untuk hidup dengan harga adil. Harga yang berubah secara adil.
Baca artikel berkaitan: Ketagihan Subsidi dan Ketagihan Harga Murah
Kerajaan tidak seharusnya menjanjikan murah untuk semua rakyat. Sekiranya pengeluar menurunkan pemgeluaran dengan tujuan meningkatkan harga adil melebihi kadar yang sepatutnya, ini pencatutan.
Sekiranya mereka berpakat menaikkan harga adil melebihi kadar yang sepatutnya, ini pakatan atau kartel yang memanipulasi harga secara monopolistik.
Untuk harga adil yang asli, persaingan mesti ditingkatkan. Kerajaan mesti mempunyai maklumat industri dan keseluruhan rantaian pengeluaran, termasuk kos pengeluaran. Perlu persaingan yang optimum di semua peringkat pengeluaran. Kaji keseluruhan kluster ternakan ayam dan pengeluaran telur ayam.
Sekiranya harga adil meningkat dengan kadar yang berpatutan berpunca dari faktor yang asli, dan didapati membebankan rakyat kumpulan berpendapatan rendah, bantuan boleh dikeluarkan, pelbagai cara-KHUSUS untuk kumpulan yang terbeban sahaja.
Benarkan harga adil yang asli berubah. Tindakan menjadikan harga lebih murah di pasaran, lebih rendah dari harga adil melalui pemberian susbsidi kepada pengeluar atau pembeli, ia adalah tindakan tidak bersasar, pasti tidak mampan. Tidak selesai masalah.
Dalam masa yang sama, beri tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah. Di sini jawapan sebenarnya untuk menangani tekanan kenaikan kos sara hidup.
Kita perlu cara baharu menangani kos sara hidup. Tumpu kepada pembentukan pasaran sihat dan adil. Berganjak dari harga murah kepada harga adil. Bantu secara bersasar terus kepada yang terbeban, bukan ganggu pasaran.
Segera bertindak untuk membolehkan kita beralih fokus, berbincang aspek daya saing global Malaysia pula. Tingkatkan daya saing dengan pelaburan berkualiti tinggi, teknologi terkini, pekerjaan dengan kemahiran tinggi. Hilang dari radar buat masa ini.
MINDA UKM-Pasaran sihat dan adil untuk negara maju dan berpendapatan tinggi.
PENULIS adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA-UKM). Beliau kini merupakan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Harvard University, Amerika Syarikat
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

