AKTRES Nad Zainal dilaporkan berada dalam keadaan baik sejak dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri pada 20 November lalu akibat penyakit autoimun dan pendarahan pada paru-paru.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan pelakon Cina Buta itu, pelakon Ungku Ismail memberitahu Nad kini dalam proses pemulihan.
“Nad masih dalam proses pemulihan. Dia dalam keadaan baik, Alhamdulillah. Saya mohon anda semua terus doakan dia agar dia sembuh dan dilenyapkan segala penyakit, kembali sihat seperti sedia kala.
“Dalam video sebelum ini saya ada jelaskan saya tak mahu terlalu kerap berkongsi berita terkini kerana bila dalam proses pemulihan, Nad lebih banyak berehat. Jadi, tak ada banyak benda yang boleh saya kongsikan.
“Saya pun tak boleh berkongsi secara terperinci tentang keadaan Nad ketika ini sebab menghormati permintaan keluarganya,” katanya dalam perkongsian video di Instagram.
Menerusi video sama, Ungku Ismail turut memaklumkan Tabung Kecemasan Nad Zainal berjaya mengumpul RM270,000 dari Pertubuhan Kebajikan As Siddiq bagi membantu membayar bil rawatan Nad di hospital.
Jelas Ungku Ismail, sebahagian sumbangan tersebut sudah pun diberikan kepada pihak hospital bagi membayar kos sepanjang Nad dirawat di pusat perubatan terbabit.
“Apa saja berkaitan rawatan dan ikhtiar untuk menyembuhkan Nad, maka kita akan guna duit daripada sumbangan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Nad Zainal masuk ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru, Paru-paru berdarah, Nad Zainal terpaksa ditidurkan, Paru-paru belum cukup kuat, Nad Zainal ditidurkan semula
“Antara ikhtiar yang saya rasa paling mujarab sekali untuk menjaga mereka yang sakit ialah dengan amal atau bersedekah kepada orang lain.
“Jadi, kita infaq atas nama Nad, atas ikhtiar dan amalan untuk mengundang ubat mujarab kepada penyakitnya.
“Ada diinfaqkan kepada rumah anak yatim, masjid, pusat tahfiz dan orang-orang yang memerlukan. Itulah pecahan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.
“Selebihnya akan disalurkan kepada Nad untuk rawatan susulan dan pengurusan hariannya kerana selepas ini dia tak dibenarkan untuk terus berlakon…dia perlu banyak berehat di rumah,” jelasnya.