MASJID Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut di Pulau Pinang menjadi masjid pertama di Malaysia yang mempunyai ruang khas perpustakaan digital atau e-library yang dinamakan Raudhatul Ulum.
Perpustakaan digital menerusi sumbangan Yayasan Bank Rakyat itu membolehkan jemaah dan pelajar sekitar Pulau Pinang mendapatkan maklumat serta bahan-bahan secara digital.
Pada masa sama, Yayasan Bank Rakyat turut bersetuju menyediakan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dalam kawasan Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut.
SIR Corner itu disediakan dalam usaha menggalakkan pembacaan dalam platform digital serta membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat terutama jemaah masjid dan penduduk setempat.
Melihat kepada usaha murni tersebut, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berbesar hati hadir dan menyempurnakan majlis perasmian e-library Raudhatul Ulum.
Baca artikel berkaitan: 128 pelajar luar bandar di Sarawak sertai bengkel robotik YBR
Dalam ucapannya, Syaiful Rizal memaklumkan, inisiatif itu adalah langkah pertama dilaksanakan di dalam masjid dengan sebelum ini YBR memberi tumpuan kepada institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau turut berharap SIR Corner itu dapat digunakan sebagai platform menambah pengetahuan sementara menunggu waktu solat.
Upacara gimik penyerahan SIR Corner itu telah dilaksanakan Syaiful Rizal kepada Pengerusi Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Yusuf Yaacob sambil disaksikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Dr Mohd Siroj Abdul Latiff; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
SIR Corner merupakan projek baharu YBR yang dilaksanakan tahun ini bertujuan menyediakan satu ruang dilengkapi set komputer, meja dan 50 keahlian e-library bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital yang bersesuaian dengan komuniti setempat.
Selain gimik penyerahan tersebut, YBR dengan kerjasama Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut turut mengadakan program Kem Remaja Mumtaz.
Kem Remaja Mumtaz itu disertai seramai 80 pelajar yang terdiri daripada keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40) berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Menurut Syaiful Rizal, program yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan lagi daya kefahaman agama dalam kehidupan seharian serta meningatkan pengetahuan fungsi kanak-kanak dan remaja dalam komuniti.
“Selain misi membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, program kem remaja ini turut memberi peluang kepada komuniti masjid menjadikan masjid sebagai hab pendidikan selain ruang untuk beribadah,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

