“DIDAPATI bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) daripada 222 ahli Parlimen adalah tidak diketahui.”
Demikian kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut mempersoalkan kewajaran usul undi percaya itu dibawa ke Sidang Dewan Rakyat.
Menurut Takiyuddin, usul undi percaya itu tidak perlu lagi dibawa kerana Yang di-Pertuan Agong telah pun melantik Perdana Menteri di bawah budi bicara Seri Paduka.
Malah, kata beliau, Anwar juga telah membentuk kerajaan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.
“Dalam hal ini, Dewan telah membuat satu keputusan bahawa usul (undi percaya) ini diluluskan. Kita semua mendengar ia diluluskan dengan undian suara tanpa undi belah bahagi.
“Apa yang dibincangkan oleh pihak kami adalah berkisar tentang tujuan kenapa ia dibawa. Pada pandangan kami secara umumnya sepatutnya tidak perlu dibawa kerana yang Yang Dipertuan Agong telah pun melantik Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2) di dalam Perlembagaan, mengikut budi bicara Yang Dipertuan Agong.
“Perdana Menteri selepas dilantik beliau telah membentuk kerajaan dan apa yang perlu dibawa usul percaya Perdana Menteri, melainkan hasrat Perdana Menteri untuk membuktikan berapa sokongan terhadap beliau (sama ada) majoriti mudah, dua pertiga atau sebagainya.
“Ini yang berlaku hari ini, sokongan terhadap Perdana Menteri daripada 222 Ahli Parlimen, ia tidak diketahui, itu sahaja… tidak diketahui berapa orang yang menyokong.
“Kita tak minta undi sebab kita tak mengundi. Biasanya kalau kita nak tahu berapa undi yang nak diberi, kita minta belah bahagian tetapi kita tak minta.
“Pihak sana (kerajaan) pun tak minta. Kita tak tahu sebab apa mereka tak minta, itu mereka punya pasal. Kes dah selesai jadi tidak diketahui berapa jumlah sokongan. Tiada 148 atau 160 atau 222 undi. Itu bukan keputusan kami,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Anwar kekal PM ke-10 dapat sokongan majoriti melalui undian suara
Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan, ahli-ahli Parlimen PN juga tidak meminta undi belah bahagian kerana tidak mahu terlibat dalam pengundian ‘dokumen yang tidak sah’.
Beliau merujuk kepada perjanjian persefahaman yang ditandatangani parti-parti politik membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menyokong pentadbiran Anwar.
Takiyuddin menegaskan, dokumen perjanjian itu jelas melanggar banyak perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelas beliau, perjanjian berkenaan turut bercanggah dengan Akta AntiLompat Parti yang digubal baru-baru ini.
“Yang ada di dalam perjanjian ini, mana-mana Ahli Parlimen atau parti-parti yang menandatangani MoU ini kalau tidak mengundi atau menyokong Perdana Menteri dianggap terlucut jawatannya. Ada ke tidak dalam 49A? Itu yang tanya kepada Datuk Seri Azalina Othman, dan tidak dijawab.
“Jawapannya tidak ada. Maknanya, apa yang dibuat ini bercanggah dengan Perlembagaan. Mengundi dengan memaksa adalah satu percanggahan dengan undang-undang dan perjanjian ini terbatal,” katanya.
Anwar mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas usul undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat, petang tadi.
Usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara dan bukan undian belah bahagi seperti dijangka ramai pihak.
Perkara itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
Susulan daripada itu, Anwar kekal memegang jawatan Perdana Menteri untuk memimpin Kerajaan Perpaduan.
Usul undi percaya dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

