SETELAH beberapa hari menjadi mangsa kritikan netizen ekoran ketiadaannya sewaktu bencana banjir berlaku, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri berkenaan.
Malah, Ahmad Samsuri turut mengakui tidak boleh memberikan sebarang alasan atas ketiadaannya pada ketika Terengganu menghadapi bencana banjir yang teruk antara 18 hingga 21 Disember lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau telah turun ke lapangan menyantuni mangsa banjir pada fasa pertama kejadian itu berlaku iaitu 9 dan 10 Disember lalu.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri berkata, beliau meneliti keadaan dan suasana yang berlaku pada setiap masa.
“Saya mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa kesal saya yang tidak terhingga kerana saya tak dapat bersama dengan mangsa banjir di lapangan terutama pada 18 hingga 21 Disember.
“Saya mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan kepada seluruh mangsa dan rakyat Terengganu atas apa yang telah berlaku.
“Saya faham bahawa saya tak boleh berikan apa juga alasan dan sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan ketiadaan saya di sisi rakyat Terengganu pada waktu sebegini.
Baca artikel berkaitan: Lebih 1,600 mangsa banjir di PPS Terengganu terpaksa dipindahkan semula
“Saya buat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke luar negara setelah berlaku tanda penurunan manakala tempoh kemuncak itu hanya berlaku pada kemudiannya iaitu 18 hingga 21 Disember. Malangnya waktu kemuncak itulah waktu yang saya berada di luar negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, pengurusan persiapan menghadapi banjir telah dilaksanakan sejak berbulan lalu.
Kata beliau, ia direncana dengan teliti oleh Kerajaan Negeri Terengganu bersama-sama agensi pusat dan negeri.
Beliau memaklumkan, kesemua agensi telah mengadakan perbincangan dan meneliti keadaan sungai secara masa nyata termasuk paras air dan isu-isu perpindahan, logistik dan sebagainya.
“Saya masih lagi berkomunikasi dengan semua agensi terlibat.
“Mana-mana yang tidak memerlukan keputusan saya sebagai Menteri Besar, semua ketua-ketua agensi telah mengambil peranannya dan jika ada yang memerlukan keputusan saya walaupun tanpa ketiadaan saya, ia dapat dilaksanakan secara terus setelah saya buat keputusan,” jelas beliau.
Ahmad Samsuri sebelum ini menjadi mangsa kritikan netizen selepas dikatakan mengambil keputusan bercuti bersama keluarga di New Zealand pada ketika bencana banjir memburuk di negeri tersebut.
Rakyat Terengganu juga tertanya-tanya kelibat Ahmad Samsuri yang kali terakhir dilihat berada di negeri itu pada 11 Disember lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

