Biar semua jawatan dipertandingkan, jangan sekat demokrasi dalam UMNO

Dari Penulis

“KITA sepatutnya bergerak ke depan, bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak menggambarkan UMNO sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.”

Itu kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung pandangan beberapa pihak supaya jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO.

Mohamed Nazri menegaskan, UMNO perlu menunjukkan contoh apatah lagi sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini dengan membenarkan pemilihan semua jawatan dalam parti dipertandingkan.

Beliau berkata, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik sekiranya terdapat usaha menghalang jawatan tertentu tidak dipertandingkan.

“Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk kita pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut menyifatkan pihak yang mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan seolah-olah memandang rendah keupayaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, kedua-dua pemimpin itu telah membuktikan keupayaan masing-masing dengan memenangi pemilihan yang lalu walaupun tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Zahid dan Tok Mat (Mohamad) menang ketika pemilihan tahun 2018 dulu masa UMNO jadi pembangkang, menang bertanding bukan menang percuma.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang kerana ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur.

Baca artikel berkaitan: UMNO tak boleh salah langkah lagi, amaran Hishammuddin

“Sebelum ini, kita kata tidak mahu ada pemilihan sebab nak fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti, kalau selepas PRU15 masih tidak mahu ada pemilihan, bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” katanya lagi.

Malah, Mohamed Nazri menegaskan, pihak yang mencadangkan supaya jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan perlu melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguji keabsahannya.

“Kita sekarang sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)… satu kerjasama yang pernah saya cadangkan pada 2019 hingga saya diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang sekarang ini menyokong usaha ini.

“Bila kita sokong dan adakan kerjasama sepatutnya kita contohi juga amalan demokrasi dalam parti-parti PH macam PKR dan DAP yang berani buat pemilihan sebelum PRU15 lalu.

“Mereka suburkan amalan demokrasi dalam parti mereka tetapi kita ada pula yang masih berfikiran 30 tahun ke belakang, mahu jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Dengan pemilihan ini, Zahid dapat membuktikan bahawa beliau ada sokongan dan keputusan bekerjasama dengan PH mendapat restu ahli-ahli UMNO,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Padang Rengas itu turut mengatakan sekiranya benar mahu mengelakkan perpecahan dalam parti dengan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi, keputusan itu perlu disusuli supaya semua jawatan di cawangan dan bahagian tidak dipertandingkan.

“Kalau benar-benar nak elak perpecahan dan jaga perpaduan dalam parti, maka jawatan-jawatan ketua dan timbalan ketua di peringkat cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam UMNO tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi telah kalah teruk.

“Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” bidas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This