PATI minyak wangi didapati menjadi punca sebanyak 472 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak pukul 7 pagi tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dalam hantaran di Facebook.
Menurut Loy Sian, pati minyak wangi itu telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu.
Kata beliau, insiden pencemaran bau sungai itu berlaku disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena dengan muatan 20 tan pati minyak wangi.
“Kemalangan itu berlaku di Lebuhraya Elite berdekatan Serenia, Negeri Sembilan.
“Pati minyak wangi telah mengalir masuk melalui sempadan ke Sungai Limau Manis dan seterusnya aliran ke Sungai Semenyih, Selangor,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Baca artikel berkaitan: 472 kawasan di lima wilayah Selangor alami gangguan air
Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak pukul 7 pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ekoran insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir mengakibatkan LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas buat sementara.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan 472 kawasan itu membabitkan 172 kawasan di Petaling; 54 kawasan Hulu Langat; 196 di Sepang; Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).
Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.
Sepang meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.
Kuala Langat di Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu manakala Putrajaya meliputi Presint 1 hingga 20, Taman Botani dan Dataran Putra.
Air Selangor bagaimanapun tidak memaklumkan tempoh gangguan tersebut akan berlaku.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

