TINDAKAN segera pembersihan sepenuhnya kesan tumpahan pati minyak wangi ke Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih sedang diusahakan.
Jaminan itu disuarakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan hari ini.
Menurut LUAS, pembersihan sepenuhnya kesan tumpahan itu bagi membolehkan operasi LRA diaktifkan semula.
Lembaga itu memaklumkan telah menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung henti tugas LRA Semenyih ekoran penemuan pencemaran bau dalam aliran sungai.
Katanya, siasatan lanjut telah dilakukan dengan segera dan telah dikenal pasti berpunca daripada tumpahan cecair daripada insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi berdekatan Bandar Serenia.
“Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer.
“LUAS juga telah mengaktifkan pemantauan rapi di sepanjang aliran sungai dari kawasan kemalangan ke LRA bagi memastikan aliran pencemaran berkenaan dibersihkan sepenuhnya.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik ke Facebook, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pati minyak wangi sebabkan 472 kawasan alami gangguan air
Terdahulu, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian mengesahkan pati minyak wangi didapati menjadi punca sebanyak 472 kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak pukul 7 pagi tadi.
Loy Sian memaklumkan pati minyak wangi itu telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu.
Kata beliau, insiden pencemaran bau sungai itu berlaku disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena dengan muatan 20 tan pati minyak wangi.
Air Selangor memaklumkan 472 kawasan itu membabitkan 172 kawasan di Petaling; 54 kawasan Hulu Langat; 196 di Sepang; Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).
Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.
Sepang meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.
Kuala Langat di Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu manakala Putrajaya meliputi Presint 1 hingga 20, Taman Botani dan Dataran Putra.
Air Selangor bagaimanapun tidak memaklumkan tempoh gangguan tersebut akan berlaku.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram