PEMIMPIN dan ahli UMNO mesti beriltizam untuk memerangi serta mematikan politik wang yang menjerumuskan parti ke tahap sekarang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, politik wang bukan sahaja menyebabkan UMNO tewas tetapi menjadikan parti semakin lemah dan tidak berdaya tahan.
“Kepada semua ahli UMNO, sedarlah politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.
“UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang sebelum politik wang membunuh UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Tahun 2022, malam ini.
Perkara tersebut merupakan satu di antara lima iltizam kolektif yang dicadangkan Mohamad dalam usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan UMNO.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO akan menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan dan memimpin secara telus serta bertanggungjawab.
Ujarnya, UMNO mesti melupakan nafsu untuk berkuasa bagi mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya.
Beliau juga mahu UMNO menjadi parti di dalam kerajaan yang kompeten, berprestasi dan disegani.
Katanya lagi, walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan, ia akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas serta benar-benar efektif.
“Keempat, UMNO yang tewas ini akan menjadikan idea sebagai modal politiknya bukan lagi wang dan kuasa. UMNO akan menjadi ‘a learning political party’.
“Lebih penting, menjadikan idea sebagai modal politik, UMNO harus membenarkan berlakunya perubahan generasi atau ‘generational change’ yang sangat diperlukan oleh parti ini.
“Kita akan membenarkan parti ini untuk benar-benar digerakkan secara bermakna, oleh generasi semasa. Generasi yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad mengajak semua pihak untuk menyemak kembali agenda Melayu demi kemajuan bangsa dan tanah air.
Katanya, tumpuan utama adalah untuk menjadikan UMNO sebagai suara sebenar kepada orang Melayu dan seluruh warga tanah air ini.
Tegasnya, memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara.
“Sudah tiba masanya, agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa, diberikan lonjakan baru, dan ditambah nilai.
“Seperti yang saya ungkapkan, dalam ucapan sulung saya, sebagai Timbalan Presiden, UMNO mesti menggalas usaha, ‘the Malay Renaissance’.
“Langkah yang konkrit dan berkemajuan akan diambil, agar bangsa Melayu dalam dekad pencerahan ini menjadi lebih kompeten berdaya saing dan maju.
“Dengan semakan semula Agenda Melayu ini, UMNO akan ada tawaran baru atau a new deal kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

