
POLIS melahirkan kekecewaan terhadap tindakan pihak sekolah yang tidak memohon bantuan pengiring keselamatan dalam kes kehilangan RM109,000 wang bantuan awal persekolahan (BAP), semalam.
Wang bantuan tersebut yang dikeluarkan sekitar pukul 10 pagi dari sebuah bank di pekan Semenyih oleh guru besar sekolah berkenaan lesap selepas cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan.
Kata beliau, khidmat itu terbuka kepada lebih 100 buah sekolah di sekitar daerah Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.
“Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.
“Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka daripada bank hingga ke tempat yang selamat,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Baca artikel berkaitan: Guru besar hilang wang bantuan awal persekolahan RM109,000 selepas tingkap kereta dipecah
Pada masa sama, Mohd Zaid memaklumkan pihaknya melakukan siasatan secara menyeluruh termasuk merangkumi unsur kecuaian atau pembabitan ‘orang dalam’.
“Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada pembabitan orang dalam, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat.
“Wang yang dikeluarkan ini sepatutnya akan diagihkan kepada pelajar hari ini dan kita menyiasat kemungkinan ada orang dalam yang turut mempunyai maklumat tentang rancangan pengetua untuk membawa keluar wang berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Semenyih mengeluarkan wang daripada sebuah bank dan memasukkannya dalam sebuah beg.
Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya.
Mangsa seterusnya meninggalkan kereta dan pergi ke kedai makan untuk membeli minuman.
Namun sekembalinya ke kereta, mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram