Usul tambahan: Ahmad Maslan, peguam UMNO jumpa RoS

Dari Penulis

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan peguam parti tersebut akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

Ia susulan aduan yang dibuat dua ahli UMNO berhubung usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Memetik laporan BH Online, Ahmad memaklumkan, pertemuan dengan RoS itu bagi membuat penjelasan berhubung proses PAU 2022.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, proses pengundian itu dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan serta perlembagaan parti.

Menurut Ahmad, Peraturan 2.1 Persidangan UMNO menetapkan jika ada berbangkit sebarang masalah (ketika persidangan), maka Pengerusi Tetap berkuasa membuat keputusan dan keputusannya itu adalah muktamad.

Ahmad turut menyertakan kenyataan peguam UMNO yang antara lain menjelaskan pencadang usul tambahan (wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin) mencadangkan pindaan dengan menambah usul kelapan menggunakan Peraturan Persidangan 20.3.3.

“Pemberian kuasa kepada Pengerusi Tetap ini adalah bagi memastikan perjalanan PAU adalah teratur namun tidaklah terlalu mengikat perwakilan kerana matlamat perhimpunan agung membincangkan dan memutuskan isu-isu berkenaan dasar parti seperti mana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3.1 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Semalam, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Aduan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Baca artikel berkaitan: Berani atau dipergunakan? Sindir Puad kepada KJ isu dua ahli UMNO adu RoS

Berdasarkan peraturan persidangan itu, ‘Sesuatu masalah, apabila dikemukakan (semula) oleh Pengerusi, bolehlah dipinda menurut semua atau mana-mana jua cara yang tersebut di bawah: Dengan dimasukkan atau ditambah perkataan-perkataan lain.”

Katanya, Pengerusi Tetap pada ketika itu sudah mengambil keputusan membenarkan pindaan tambahan itu dengan syarat Penyokong Usul (Terengganu) menyokong seperti mana di bawah Fasal 21.1 Peraturan Persidangan.

Peraturan itu menyatakan: “Dalam Persidangan, sesuatu usul atau pindaan itu tidak akan dikemukakan oleh Pengerusi kecuali jika usul atau pindaan itu telah disokong.”

Setelah Penyokong Usul menyokong pindaan itu, maka Pengerusi Tetap mengambil keputusan untuk mengemukakan pindaan tambahan itu ke perbahasan.

Keputusan Pengerusi Tetap itu adalah satu keputusan muktamad mengikut Peraturan Persidangan 2.1 seperti dinyatakan.

Kenyataan peguam UMNO itu menyebut ketika tempoh perbahasan, diadakan forum untuk pembahas membahaskan persetujuan atau tidak terhadap pindaan tambahan itu bagi perwakilan untuk mempertimbangkan berkenaan usul-usul itu.

“Terpenting, pucuk pangkalnya, boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus perwakilan bersetuju dengan pindaan tambahan itu dengan mengangkat tangan, menyatakan persetujuan malahan mereka berdiri.

“Pengundian ini dijalankan seperti mana Peraturan Persidangan 27.5 iaitu…. setelah tamat perbahasan dengan suara setuju atau tidak dengan mengangkat tangan dan keputusan itu hendaklah diumumkan oleh Pengerusi”,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium di Penampang

SEORANG lelaki ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan itu di Penampang, petang semalam. Ketua...

More Articles Like This