Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali (tengah) ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PROSIDING bela diri kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, diteruskan tanpa peguam bela mewakili tertuduh.

Prosiding itu bakal diteruskan dengan Siti Bainun, 31, membacakan pernyataan saksi tanpa peguam bela.

Penetapan bagi meneruskan prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down, Bella itu dibuat oleh Hakim Izralizam Sanusi kerana tidak mahu kes itu ditangguhkan lagi.

Ketika disoal oleh Izralizam sama ada telah melantik peguam bela baharu untuk memulakan prosiding hari ini, Siti Bainun menjawab sudah membuat permohonan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagaimanapun, Siti Bainun memberitahu perkara itu memerlukan masa selama sebulan lagi bagi membuat persiapan akhir termasuk penyerahan dokumen dan meneliti kes itu.

Izralizam kemudian menyoal Siti Bainun adakah dia mengetahui kepentingan kes ini, Siti Bainun kemudian menjawab: “tahu”.

Izralizam: Saya nak tanya adakah kamu membuat aduan kepada Majlis Peguam atas tindakan tarik diri peguam kamu sebelum ini?

Siti Bainun: Tidak, sebab mereka masih bantu saya termasuk menyediakan dokumen.

Izralizam mengulangi prosiding itu perlu diteruskan seperti tarikh ditetapkan bagi memastikan Siti Bainun dapat menyelesaikan pembacaan pernyataan saksi hampir setebal 200 muka surat itu hari ini dan esok.

Bagaimanapun Izralizam menangguh sesi itu seketika selepas Siti Bainun memberitahu mahkamah bahawa dia tidak membawa sebarang salinan pernyataan saksi.

Sebelum ini, kelima-lima peguam dari lima firma yang mewakili tertuduh telah bertindak untuk menarik diri dengan alasan kekangan masa dan pertindihan jadual kes lain.

Pada 24 November lalu, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri bagi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.