
KUMPULAN pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, menggesa kerajaan memberikan pengiktirafan kepada pembentukan ‘Kabinet bayangan’ oleh pembangkang.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Bersih berkata, Putrajaya boleh menggubal suatu undang-undang bagi mengakui pembentukan Kabinet bayangan dengan menggariskan fungsi, hak dan kemudahan kepada mereka.
Kata Bersih, dengan cara itu, pembangkang boleh melaksanakan tugasnya sebagai mekanisme semak dan imbang secara profesional, dan bebas daripada sikap emosional serta populis.
“Pengiktirafan kabinet bayangan seharusnya merangkumi majlis angkat sumpah setia untuk anggota Kabinet bayangan di Istana Negara, memberikan elaun berjumlah satu per tiga daripada gaji menteri seperi yang dilaksanakan di Australia, serta menyediakan peruntukan seorang pegawai penyelidik bergaji untuk setiap menteri bayangan,” katanya
Selain itu, tambah Bersih, mereka juga perlu diberikan akses kepada maklumat yang berkaitan sesuai dengan portfolio masing-masing untuk membantu menghasilkan polisi yang realitik, memetik laporan Malaysiakini.
Tidak ketinggalan Bersih mahu kerajaan melakukan penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama ketua pembangkang atau wakil kabinet bayangan.
Semalam Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembentukan Kabinet bayangan – atau jawatankuasa portfolio – yang dianggotai ahli parlimen terpilih bagi memberikan reaksi terhadap dasar yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai ketua ahli parlimen gabungan itu manakala Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
BERITA BERKAITAN PN umum ‘Kabinet bayangan’
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjadi ketua pembangkang.
Muhyiddin berkata ahli parlimen terbabit diberikan portfolio berdasarkan kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang masing-masing.
Bagaimanapun hari ini bekas ahli parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai melahirkan rasa kecewa dengan kabinet bayangan berkenaan apabila ia dikuasai oleh ahli parlimen Melayu-Islam saja.
Keadaan itu katanya tidak menggambarkan komposisi kaum di negara ini.
“Satu wakil kaum Cina pun tak ada. Satu wakil kaum India pun tak ada. Sabah ada satu orang. Sarawak ada satu orang,” katanya.
Menurut Bersih kerajaan yang memposisikan dirinya sebagai reformis harus memberikan pengiktirafan kepada kabinet bayangan PN agar mutu perbahasan dan pemantauan di parlimen, selain persaingan dasar di antara kerajaan dan pembangkang dipertingkatkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram