GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan supaya mekanisme pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya di Parlimen.
Bersih dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu supaya proses berkenaan dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh ahli Parlimen kerajaan mahu pun pembangkang.
Menurut Bersih, ahli-ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR.
Pada masa sama, Bersih turut mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR.
Gabungan itu menegaskan reformasi pelantikan tersebut adalah mustahak tambahan lagi Pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Bersih sekali lagi menegaskan supaya Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan agenda reformasi pilihan raya.
“Umum mengetahui bahawa Pengerusi SPR (Tan Sri Abdul Ghani Salleh) akan bersara wajib pada bulan Mei ini. Kekosongan jawatan ini akan menjadikan dua kekosongan jawatan ahli SPR iaitu Pengerusi dan seorang lagi ahli.
Baca artikel lain: SPR sedang mesyuarat bincang PRK DUN Kuala Kubu Baharu
“Kami juga mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti Pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Bersih turut menggesa kerajaan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2003 tanpa sebarang pindaan signifikan.
Katanya, Bersih telah melakukan bengkel libat urus yang melibatkan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan CSO yang memfokuskan agenda reformasi pilihan raya selama lebih dua tahun bermula 2019 sehingga 2021.
“Hasil libat urus ini pihak kami mengenal pasti 19 seksyen dalam AKPR yang perlu dipinda seperti seksyen berkenaan rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.
“Selain itu, perlu juga memasukkan peruntukan baharu untuk memodenkan akta ini seiring keperluan zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen pilihan raya, keperluan mengaudit belanja pilihan raya oleh calon-calon serta memperkasakan kuasa SPR untuk memberi kompaun kepada pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya,” katanya.
“Pindaan AKPR juga perlu dilaksanakan agar perjalanan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih baik sebelum siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan bermula dengan PRN Sabah pada 2025,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

