Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan beliau belum memutuskan sama ada akan bertanding bagi mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, ketika ini beliau masih mempertimbangkan perkara itu, malah mengakui pilihan yang akan dibuatnya kelak akan menentukan ‘team’ (pasukan) mana yang menjadi pilihan.

“Saya belum ambil sebarang keputusan untuk pertahankan jawatan atau sebaliknya…saya masih mempertimbangkan perkara itu.

“Jadi sama ada saya ada ‘team’ (pasukan) atau tidak, (ia) bergantung kepada keputusan itu nanti (bertanding pertahan jawatan atau sebaliknya).

“Jika saya pilih untuk tidak bertanding maka sudah tentu saya tiada ‘team’ (pasukan),” katanya memetik laporan BH hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti.

Selain Mohamed Khaled, sumber berkata seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan turut mempertahankan jawatan, selain Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga dikhabarkan akan merebut jawatan nombor tiga UMNO itu kelak.

BERITA BERKAITAN Ismail Sabri tak setuju keputusan MKT UMNO, wujud kecacatan proses

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sebelum ini memutuskan dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan sekiranya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya, beliau tidak mahu lagi terus campur tangan dalam hal parti.

Mengulas keputusan PAU 2022 mengenai jawatan Timbalan Presiden dan Presiden tidak dipertandingkan, katanya setakat ini beliau menghormati keputusan itu.

“Setakat ini saya hormati keputusan PAU 2022, kecuali Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) buat keputusan sebaliknya.

“Kalau ROS buat keputusan lain, kita akan putuskan bila masanya tiba,” katanya.

Ismail Sabri menegaskan sebelum PAU 2022 beliau tidak menyebut sepatah perkataan pun atau menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

“Bagi saya kalau nak ‘berlawan’ tidak boleh ramai-ramai, satu jawatan (direbut sampai) tiga empat orang.

“Ini tiada makna, (hanya) menyebabkan UMNO berpecah, jadi saya kata kena tengok dulu keputusan parti ada pertandingan atau tidak.

“Ini kerana saya ada mendengar ura-ura dua jawatan ini tak dipertandingkan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram