Penjara Sungai Buloh.

JABATAN Penjara Malaysia sedang melaksanakan Reformasi Penjara yang bertujuan antaranya untuk mengurangkan kesesakan dan residivis di seluruh penjara termasuk Penjara Sungai Buloh.

Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan, beberapa usaha telah dilakukan menerusi Reformasi Penjara bagi meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan penjara.

Antara usaha berkenaan, kata jabatan itu adalah pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara.

Selain itu, Jabatan Penjara turut bekerjasama dengan pihak mahkamah bagi mempercepat perbicaraan.

“Jabatan Penjara turut memfokuskan lagi program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini telah melibatkan seramai 82,487 banduan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus.

“Program pemulihan dalam komuniti tersebut turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jabatan Penjara memaklumkan, bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut digunakan sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit.

Baca artikel berkaitan: Guna Jata Persekutuan tanpa kebenaran boleh didenda, penjara

Pada masa sama, Jabatan Penjara juga sedang mengkaji peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelakkan mereka ditahan di penjara.

Menurut Jabatan Penjara, langkah yang telah dilaksanakan itu telah membolehkan masalah kesesakan dialami Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.

“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4,200 banduan iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada. Kadar ini berdasarkan ketetapan antarabangsa.

“Langkah mengurangkan kesesakan tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh, berkata kesesakan penjara itu adalah amat membimbangkan.

Ini kerana, kata beliau, penempatan banduan di Penjara Sungai Buloh kini melebihi 2,000 orang daripada kapasiti yang ditetapkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram