SEPASANG kekasih warga India dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki senegara pada Oktober dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Varun Kumar, 30, dan Lechhami Devi, 23, didakwa telah membunuh mangsa, Arshdeep Sigh, 25, di rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan sekitar jam 1.30 pagi pada 31 Oktober 2021.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala, Varun Kumar diwakili oleh Peguam Pritam Sigh Doal.
Sementara itu, Lechhami yang juga merupakan isteri kepada mangsa tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Dalam prosiding itu, Majistret Muhammad Syafiq berkata, kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk dijamin berikutan Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan sedemikian.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 April depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen selain akan menyediakan seorang penterjemah Bahasa Punjabi ekoran tertuduh tidak memahami Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Mahkamah turut bersetuju untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
UtusanTV sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga India telah disyaki membunuh sebelum menanam mayat suami kepada kekasihnya di belakang sebuah banglo di Subang Jaya pada Mei tahun lalu.
Perbuatan itu terbongkar selepas suspek didakwa mengaku membunuh dan menanam rakan senegaranya itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa dipercayai dibunuh dengan dikelar di bahagian leher menggunakan pisau.
Wan Azlan memberitahu, motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.
“Kita turut menyiasat termasuk dari aspek penglibatan isteri mangsa secara langsung dalam insiden ini kerana laporan dibuat oleh rakan mangsa dan bukan isteri si mati,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

