LANGKAH Kementerian Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menerima pujian Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, ketegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek penting bagi mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Jelas beliau, Dasar Pendidikan Kebangsaan telah berjaya menyatupadukan pelajar melalui sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan yang seragam serta berkualiti.
Sekiranya UEC diiktiraf, Kamal Shukri berkata, sistem peperiksaan negara bakal menjadi cacamarba.
“Sistem peperiksaan yang seragam dan berkualiti sejak merdeka adalah menerusi kawalan dan kendalian badan berautoriti serta berwibawa seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.
“Jika UEC diiktiraf, ia boleh membuka ruang untuk lebih banyak pihak lain seperti badan bukan kerajaan, swasta malah syarikat memohon untuk mengendalikan peperiksaan secara sendiri-sendiri bertunjangkan keuntungan dan faktor lain.
Baca artikel berkaitan: KPM tetap tidak iktiraf UEC, bukan keutamaan
“Ia juga mengetepikan keseragaman serta kesepaduan falsafah pendidikan negara di samping akan terdedah kepada risiko atau ketidakakuran terhadap kebolehpercayaan sistem peperiksaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Fadhlina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menegaskan KPM tetap tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).
Fadhlina malah melihat isu berbangkit tentang pengiktirafan UEC itu bukan keutamaan kementerian tersebut.
Menurut Fadhlina, pendirian teguh itu berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Mengulas lanjut, Kamal Shukri turut berharap supaya KPM dapat memansuhkan program Dwibahasa (DLP), namun bukan secara soft-landing (berperingkat).
“MPM berharap program DLP juga dimansuhkan KPM tetapi bukan secara soft-landing seperti pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dahulu agar tiada pihak yang cuba menahan ikan di lukah,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

