MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini menangguhkan pertuduhan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Nepal yang mayatnya dikerat dan disumbat ke dalam sebuah bagasi sebelum ditemukan di tepi lebuh raya, berhampiran susur Rawang Selatan, Januari lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Sasha Diana Sabtu selepas suspek yang juga merupakan warganegara Nepal itu memberitahu mahkamah dia tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sejurus disoal oleh jurubahasa mahkamah sebelum pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi melantik seorang jurubahasa bagi membaca pertuduhan itu dalam Bahasa Nepal.
Justeru, Majistret Sasha Diana menetapkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 7 April depan untuk pertuduhan itu dibacakan ke atasnya.
Sebelum ini pihak polis dilaporkan telah menahan 15 warga asing susulan siasatan terhadap kes bunuh seorang lelaki berusia 48 tahun yang mayatnya dikerat serta disimpan dalam bagasi sebelum dibuang dekat Kilometer 447, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Rawang pada pertengahan Januari lalu.
Baca berita berkaitan: Bagasi berisi bahagian badan manusia ditemukan di tepi Lebuhraya PLUS
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan enam daripada mereka berusia 24 hingga 30 tahun dipercayai terlibat dalam pembunuhan terbabit, bagaimanapun seorang daripada mereka masih bebas.
Beliau berkata, hasil siasatan polis terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati motif pembunuhan mangsa berusia 48 tahun adalah kerana dendam peribadi.
Baca berita berkaitan: Mayat dalam bagasi mati akibat kecederaan senjata tajam serta tumpul
Katanya, suspek dan mangsa adalah rakan sekerja sebagai pengawal keselamatan pangsapuri di Sungai Buloh.
Tambahnya, mangsa dibunuh dan dikerat di sebuah bilik stor pangsapuri tempatnya bekerja oleh rakan senegara.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

