SERAMAI 14 banduan Penjara Pokok Sena yang dilepaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) hari ini, menganggap ia sebagai ‘hadiah’ menjelang sambutan Aidilfitri.
Seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 62, berkata pembebasan bersyarat itu ‘hadiah’ yang cukup menggembirakan dan bersyukur kerana berpeluang menyambut raya nanti bersama dua cucu perempuannya berusia tujuh serta sembilan tahun.
Dia yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan membabitkan dadah, tidak menyangka dilepaskan lebih awal daripada tarikh bebas sebenar pada 11 Mei nanti.
“Saya dapat tahu akan dilepaskan awal pada Isnin lepas yang membuatkan saya tak boleh tidur malam sebab fikir nak balik saja,” katanya kepada pemberita sebelum pembebasan banduan itu berlangsung di Penjara Pokok Sena, di sini hari ini.
Ia dilakukan Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena S.Tanabal dan banduan itu kemudian diserahkan kepada Pejabat Parol Daerah Kota Setar untuk urusan dokumentasi sebelum dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.
Din, yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan, berkata dia berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dan tidak mahu lagi terlibat dalam penyalahgunaan dadah dengan mengelak diri daripada sebarang pengaruh yang boleh mengheretnya kepada masalah itu.
Amir, 22, pula berkata dia sangat bersyukur dilepaskan lebih awal daripada tarikh bebas sebenar pada 8 Mei, sekali gus berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga terutama ibunya.
“Ini kali pertama saya masuk penjara kerana kesalahan dadah. Selepas keluar penjara ini saya nak minta ampun (maaf) dengan mak saya. Saya ada buat kad raya (menggunakan kertas putih A4) untuk mak,” katanya.
BERITA BERKAITAN Banduan meninggal dunia selepas tujuh hari terima rawatan
Amir berkata hikmah di sebalik hukuman penjara itu, dia dapat belajar solat dengan baik berbanding sebelum ini kurang tahu menunaikan ibadah itu.
Bagi Syah, 21, perkara paling ditunggu dan dirinduinya untuk dilakukan sebaik keluar penjara adalah bersalaman dengan ibu bapanya.
“Saya jalani hukuman penjara ini disebabkan kesalahan samun. Sepatutnya saya hanya akan dibebaskan pada 18 Jun, jadi bila dapat lepas lebih awal ini sudah tentu amat gembira sebab boleh beraya dengan mak dan ayah. Perkara yang saya rindukan lagi ialah ikut keluarga melawat saudara-mara semasa hari raya,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap kepada media selepas pelepasan itu, Tanabal berkata kesemua 14 banduan Penjara Pokok Sena yang terlibat dalam pembebasan secara berlesen itu, merupakan banduan yang menjalani hukuman penjara dalam tempoh singkat iaitu bawah setahun.
Beliau berkata banduan terlibat melepasi syarat ditetapkan Jabatan Penjara selain telah mendapat persetujuan keluarga untuk menerima mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Mereka (banduan) perlu mematuhi lebih kurang 14 peraturan atau arahan semasa berada di luar, antaranya mereka hanya boleh berada di luar rumah dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.
“Selepas pukul 7 malam mereka perlu berada dalam rumah, selain tidak boleh terbabit dengan aktiviti yang melanggar undang-undang dan perlu berada dalam daerah (tempat tinggal keluarga ) sahaja, tidak boleh keluar daerah,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

