Anwar bertemu Jokowi sebaik tiba di Indonesia sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Dari Penulis

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo sebaik sahaja tiba di Labuan Bajo, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023 di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur.

“Usai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo, saya terus ke Meruorah Komodo Labuan Bajo bagi kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Bapak Joko Widodo atau Jokow,” katanya.

Anwar berkata, dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Luar dan delegasi itu, mereka sempat bertukar pandangan berkaitan agenda Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang bakal bermula esok.

“Saya dan Pak Jokowi senada dan sepakat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala berkaitan isu mendesak ASEAN yang menuntut kebersamaan Jakarta dan Kuala Lumpur,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Pesawat yang membawa perdana menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo pada pukul 3.45 petang (waktu sama dengan Malaysia), dan ketibaan Anwar disambut oleh Menteri Pengangkutan Indonesia Budi Karya Sumadi.

Turut hadir menyambut ketibaan perdana menteri di lapangan terbang ialah Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

“Ini merupakan kehadiran kali pertama Datuk Seri Anwar selaku Perdana Menteri ke mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin-pemimpin negara ASEAN,” kata Zambry kepada media Malaysia.

“Kita menjangkakan kehadiran perdana menteri akan menjadi perhatian memandangkan peranan beliau dan Malaysia sebagai satu daripada anggota awal yang menubuhkan ASEAN,” katanya memetik laporan Bernama.

BERITA BERKAITAN Anwar tidak perlu ‘tenyeh’ bekas pembesar negara, akan beri kesan negatif kepadanya – Khairy

Anwar yang juga Menteri Kewangan mempunyai jadual padat semasa di sini termasuk beberapa perbincangan dua hala, dan lapan mesyuarat Sidang Kemuncak, dalam tempoh masa tiga hari persidangan di Ayana Komodo Waecicu Beach Hotel.

Menurut Zambry, Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Timor Leste Taur Matan Ruak.

Beliau juga dijadual mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dijangka menghasilkan beberapa dokumen seperti Pernyataan Pemimpin-pemimpin Asean berhubung pengukuhan institusi ASEAN dan Visi ASEAN pasca 2025.

Lain-lain termasuk berkaitan menangani pemerdagangan manusia, perlindungan pekerja migran serta keluarga mereka semasa krisis, kesihatan, ekosistem kenderaan elektrik, dan pembangunan rangkaian kerja ASEAN.

Ini selaras dengan tema pengerusi blok serantau 2023 Indonesia,  “Asean Matters: Epicentre of Growth.”

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hospital Melaka jadi penanda aras nasional, terima peruntukan khas RM1.6 juta

HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan...

More Articles Like This