PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dengan kes buli dan pukul seperti yang dilaporkan pada Jumaat lalu akan diberhentikan.
Menurut beliau, tiada kompromi terhadap pelajar di bawah institusi itu yang terlibat dengan kes buli dan pukul.
“Saya sudah terima laporan daripada Bahagian Pendidikan MARA, semua yang terlibat dicadangkan untuk diberhentikan dari MRSM.
“Tiada usaha menutup kes sebagaimana dakwaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Media pada Ahad melaporkan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan menahan lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes buli.
Kejadian berlaku pada pukul 11 malam itu membabitkan mangsa pelajar Tingkatan Tiga di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan.
Difahamkan, mangsa dikatakan dipukul oleh pelajar Tingkatan Lima disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh. Mangsa difahamkan mengalami luka kecil akibat kejadian itu.
Tambahnya, tangkapan dibuat pada hari sama pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa dan semua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Kamarul Rizal berkata, siasatan polis mendapati kelima-lima suspek turut membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama, antara pukul 11 malam hingga 12.30 tengah malam, di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di Blok B.

