TINDAKAN berani dua individu dipercayai suspek pecah rumah dan curi kabel memandu melawan arus kerana mahu melarikan diri daripada pemeriksaan polis gagal.
Ia selepas kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 30 tahun itu berjaya ditahan polis dalam kejadian yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota kereta peronda polis (MPV) berhubung kejadian mengejar melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max berwarna perak.
Menurut Mohd Zaid, suspek telah bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan melawan arus di Kilometer (KM) 20.9 Lebuhraya Kajang Silk.
Beliau berkata, kejadian itu telah menyebabkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan orang awam di tengah-tengah lebuh raya tersebut.
“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menjumpai beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk melakukan kesalahan jenayah pecah rumah dan curi kabel.
“Kedua-dua suspek ini dalam tahanan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 3 mat rempit ditahan polis selepas aksi menduga kelajuan tular
Mengulas lanjut, Mohd Zaid memaklumkan, hasil ujian air kencing kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine di samping mempunyai 24 rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan narkotik.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri semasa pemeriksaan polis yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, kedua-dua suspek itu turut disiasat di bawah Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah yang boleh dihukum denda maksimum RM200 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.
“Selain itu, kedua-dua suspek ini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.
“Suspek ini juga disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan jika sabit kesalahan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

