PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu hutang peneroka Felda.
Ia selepas Anwar dikatakan gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam seperti mana yang terkandung dalam surat tuntutan (LOD) yang dihantar peguamnya kepada Perdana Menteri.
Menurut Muhyiddin, dokumen yang dikeluarkan Anwar, hari ini bukanlah berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda seperti yang dimintanya dalam LOD tersebut.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa dokumen yang dikemukakan Anwar adalah berkenaan sukuk iaitu sebagai jaminan kerajaan kepada Felda.
“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk, bukan pelupusan hutang peneroka Felda.
“Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.
“Siaran media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Anwar kemuka sebahagian bukti, gesa Muhyiddin mohon maaf
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa pendedahan dokumen sukuk itu menunjukkan bahawa Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan.
“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandatangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
“Jelas Anwar tidak layak untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Anwar mendedahkan sebahagian dokumen yang membuktikan beliau sudah menandatangani dokumen berkaitan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) serta penerbitan sukuk berjumlah RM990 juta sebagai jaminan kerajaan terhadap FELDA.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.
Semalam, Muhyiddin mengemukakan LOD kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.
LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Dalam pada itu LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.
Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

