Rusuhan penyokong bola sepak, PDRM tahan 7 lelaki

Dari Penulis

POLIS menahan seramai tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun susulan insiden pergaduhan selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC dan Kedah FC berdekatan Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

Video penuh klik link di bawah

https://t.me/infoutusantv/270

Kesemua lelaki itu berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian rusuhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu pada pukul 11.20 malam yang berlaku berdekatan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya.

Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

“Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat daerah (IPD) Timur Laut tiba di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

“Seramai tujuh lelaki tempatan telah ditahan oleh pasukan D7 Bahagaian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut.

Susulan kejadian itu juga, beliau berkata, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong Kedah FC turut pecah ditumbuk salah seorang suspek.

“Selain itu, dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya.

Soffian berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan kesemua yang ditahan direman selama dua hari sehingga esok.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This