SEMUA pihak diminta supaya tidak membuat apa-apa ramalan susulan desas-desus bahawa kemungkinan wakil MCA akan dilantik sebagai menteri dalam masa terdekat.
Memetik laporan Sinar Harian Online, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, pelantikan dalam Kabinet merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau yang baru sahaja menang kerusi Naib Presiden MCA, baru-baru ini berharap semua pihak tidak membuat sebarang ramalan dan menunggu keputusan Perdana Menteri.
“Saya ada dengar tentang ura-ura tentang wakil MCA akan dilantik menganggotai jemaah menteri di bawah Kerajaan Perpaduan susulan spekulasi Perdana Menteri akan membuat rombakan kabinet.
“Jangan buat apa-apa ramalan dahulu, tunggu keputusan Perdana Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu memaklumkan akan memikul tanggungjawab sebaiknya jika diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri.
“MCA juga merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Jika diberikan peranan dan tanggungjawab, kita akan buat demi kebaikan untuk rakyat,” katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan wakil MCA atau MIC dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri susulan khabar angin berlakunya rombakan Kabinet dalam masa terdekat iaitu selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini.
Baca artikel berkaitan: Rombakan: Wakil MCA atau MIC akan sertai Kabinet?
Laporan memetik sumber itu memaklumkan, perbincangan bagi melantik wakil MCA atau MIC dalam Jemaah Menteri itu dikatakan telah pun berlaku baru-baru ini.
Buat masa ini, MCA mempunyai dua wakil sebagai Ahli Parlimen iaitu Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Jeck Seng.
MIC pula hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan (Tapah).
Sebelum ini, hanya UMNO mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam barisan Kabinet dengan enam wakil tersenarai sebagai menteri.
Enam wakil tersebut adalah Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).
Turut dilantik adalah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar; Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Sebelum ini, Perdana Menteri menyifatkan rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana hanya satu kekosongan jawatan yang perlu diisi.
Kekosongan itu melibatkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Jawatan berkenaan kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

