PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan pelaburan dari negara jiran, Singapura untuk melabur di Malaysia, terutama di empat negeri bawah pentadbiran parti itu dalam bidang industri berpotensi seperti industri nadir bumi.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya telah membincangkan potensi kerjasama antara Singapura dengan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis selepas menerima kunjung hormat Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee, semalam.
“Kami telah mengadakan perbincangan mengenai fokus pembangunan di Malaysia dan Singapura.
“Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan potensi kerjasama Singapura dengan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang berada dibawah pentadbiran PAS dan PN,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata: “Kami juga bertukar pandangan berkenaan dengan pelaksanaan gaji progresif yang telah dilaksanakan di Singapura.
“Seterusnya, PAS turut menyatakan kebersamaan dengan kerajaan Malaysia dalam mengecam kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin,” kata anggota Parlimen Kubang Kerian itu.
Sementara itu dalam kunjungan ke Kuala Lumpur itu, Lee turut mengadakan siri pertemuan produktif dengan pemimpin pembangkang lain dan beberapa pemimpin kerajaan persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya pertemuan itu dimulakan dengan sarapan pagi bersama Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Mohd Radzi Jidin untuk memahami perspektifnya mengenai hal ekonomi.
“Selepas itu, saya bertemu dengan Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, di mana kami membincangkan bidang kerjasama yang berpotensi, seperti di bandar pintar, pembaharuan bandar dan perancangan bandar.
“Pada sebelah petangnya, kami telah bermesyuarat di Putrajaya dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Selain itu tambah Lee, dia dan delegasi mengakhiri kunjungan dengan makan malam bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan rakan-rakan.
”Rafizi ialah pengerusi bersama saya dalam jawatankuasa bersama peringkat menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM).
“Terima kasih kepada semua rakan-rakan Malaysia kami yang melepaskan jadual sibuk mereka untuk bertemu dan melayani kami,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

