CADANGAN supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai syok sendiri.
Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan cadangan antara Najib dan Muhyiddin itu tidak perlu dilayan.
Katanya, ini kerana individu yang mencadangkan gabungan itu disifatkan sebagai buta sejarah.
“Ada cadangan Najib dan Muhyiddin bergabung. Kononnya Malaysia tambah hebat. Tanyalah Muhyiddin. Mahukah dia.
“Najib pernah sokong Muhyiddin jadi PM (Perdana Menteri) kelapan. Dia tikam belakang. Dia mahu bunuh UMNO macam di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Muhyiddin tolak sertai Kerajaan Perpaduan. Dia mahu tebuk atap. Maka macam mana mahu wujud Malaysia lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Malah, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, UMNO dan Bersatu bersaing untuk kumpulan sasar yang sama.
“Sebab itu Bersatu kena bunuh UMNO untuk hidup. Mudah berkawan dengan PKR kerana kumpulan sasar mereka berbeza.
“Gabungan itu cadangan Syed Imran. Dia dakwa akan kumpul 30,000 orang sokong Najib. 10 orang pun tak sampai. Kaki syok sendiri. Tak payah layanlah,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Tiada masalah Muhyiddin kembali kerjasama, Najib sudah dihukum – Razali
Sebelum ini, penyokong tegar Najib atau ‘Bossku’ mahu bekas Presiden UMNO itu dan Muhyiddin melupakan ‘cerita lama’ serta bergerak bersama demi kebaikan negara dan rakyat.
Ia susulan langkah dilakukan Muhyiddin yang mendoakan kesembuhan Najib yang kini dijangkiti COVID-19, Jumaat lalu.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, penantian penyokong tegar bekas Presiden UMNO selama tujuh tahun terlerai selepas Muhyiddin secara terbuka mendoakan Najib.
Syed Muhammad Imran turut mendakwa kenyataan dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai satu isyarat bahawa keadilan untuk Najib akan tercapai sekiranya bersama dengan PN.
Malah, beliau turut meluahkan keyakinan bahawa UMNO akan kembali kukuh dan Najib berada semula di arena politik tanah air sekiranya bersama dengan PN.
Muhyiddin pernah dilantik menerajui barisan Kabinet negara sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kepimpinan Najib pada 10 April 2009.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO pada Jun 2016 atas kesalahan pelanggaran disiplin.
Pemecatan itu dibuat oleh UMNO selepas menilai Muhyiddin sepentas dengan pembangkang yang pada ketika itu menyerang pimpinan dan parti serta menuntut Najib melepaskan jawatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

