MAHKAMAH Rayuan hari ini membatalkan penukaran agama tiga orang anak Loh Siew Hong kepada Islam secara unilateral atau sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan ibu tunggal itu bagi mencabar penukaran agama sepasang kembar perempuan yang berusia 16 tahun dan seorang anak lelaki berusia 13 tahun.
Dua lagi anggota panel yang mendengar prosiding rayuan wanita beragama Buddha itu pada hari ini ialah, Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Ketiga-tiga panel hakim itu memutuskan secara sebulat suara bahawa penukaran agama tiga orang anak kepada Islam secara unilateral oleh bekas suami Siew Hong adalah tidak mengikut undang-undang sekiranya tiada persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Pada 11 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya oleh suaminya pada tahun 2020.
Hakim Hadhariah berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah terkhilaf ekoran tidak mempertimbangkan dua isu kritikal.
Dua isu kritikal itu ialah, samada penukaran agama secara unilateral itu sah dan kedua sama ada enakmen negeri Perlis yang membenarkan salah seorang ibu atau bapa untuk menukar agama anak kepada Islam adalah tidak sah kerana tidak selari dengan peruntukkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Kegagalan Mahkamah Tinggi untuk menjawab kedua-dua isu ini adalah salah yang jelas yang mengakibatkan kesilapan undang-undang,” kata Hadhariah.
Kata beliau, Mahkamah Tinggi juga terkhilaf kerana tidak mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes Indira Gandhi.
“Kami terikat dengan keputusan Indira Gandhi. Dalam kes ini, ibu tidak membenarkan anak-anak memeluk Islam,” katanya lagi.
Bagi kes Indira Ghandi, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan bahawa penukaran agama anak kepada Islam memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa walaupun salah seorang telah memeluk Islam.
Sebagai rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada 8 Disember 2016 telah meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang membenarkan hanya seorang daripada ibu bapa mengislamkan anak mereka.
Pindaan dibuat terhadap terhadap versi bahasa Melayu enakmen tersebut, yang sebelum itu menyebut kanak-kanak bawah 18 tahun boleh memeluk Islam dengan kebenaran ‘ibu bapa’ atau penjaga. Perkataan ‘ibu bapa’ dalam Seksyen 117(b) enakmen itu telah ditukar kepada ‘ibu atau bapa’.
Pada 25 Mac 2022, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suaminya yang turut memeluk Islam sekali gus memohon membatalkan pengislaman berkenaan.
Menurut permohonan itu, Siew Hong antara lain memohon agar ketiga-tiga anaknya itu diisytiharkan sebagai beragama Hindu dan akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak itu yang bertarikh 7 Julai 2020.
Siew Hong menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.
Wanita terbabit memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya agar tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.
Siew Hong dan bekas suaminya Siew Hong M. Nagashwaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy bercerai pada 2019 sebelum lelaki itu yang telah memeluk agama Islam menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

