USAHA memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat menjadi antara keutamaan sewaktu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh diamanahkan menjawat jawatan tersebut lebih satu tahun lalu.
Atas dasar itu, Dana Sukan Komuniti diwujudkan bagi memastikan semangat untuk ‘merakyatkan’ sukan dirasai di peringkat akar umbi.
Dana Sukan Komuniti merupakan satu bentuk bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penganjuran sukan komuniti.
Untuk usaha itu, RM20 juta telah diperuntukkan bagi mempergiat sukan dalam komuniti di seluruh negara.
Berdasarkan senarai kelulusan Dana Sukan Komuniti di laman web rasmi KBS, sebanyak 1,014 permohonan telah diluluskan sepanjang tahun 2023.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 344 permohonan yang diluluskan itu telah pun menerima dana berkenaan.
Penyaluran dana tersebut tidak mengira siapa pun yang boleh memohon sama ada organisasi belia dan sukan; persatuan sukan; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); persatuan komuniti atau pun badan beruniform sekali pun.
Seperti mana objektif asalnya iaitu melaksanakan aspek pembudayaan sukan kepada semua peringkat tanpa meminggirkan kelompok masyarakat tertentu, Dana Sukan Komuniti disalurkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahu pun politik.

Mengambil semangat itu, tiada sesiapa yang dipinggirkan bagi penganjuran sukan komuniti.
Ia dapat dibuktikan menerusi kelulusan RM500,000 Dana Sukan Komuniti di Kelantan yang disahkan sendiri oleh Hannah, Jun lalu.
Lebih menarik perhatian, Disember lalu, Hannah sewaktu berkunjung ke Kedah telah meluluskan peruntukan dana hampir RM100,000 untuk sukan komuniti dan peralatan sukan kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.
Menurut Hannah, daripada jumlah itu, sebanyak RM47,000 diperuntukkan bagi membolehkan penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah.
Baca artikel lain: Elaun atlet Program Podium tukar jadi gaji, Olimpik Paris tumpuan KBS tahun ini
Kelulusan itu sekali gus menjadi bukti usaha murni KBS bagi menggembleng perkembangan sukan di peringkat akar umbi.
Bukan itu sahaja, Hannah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk pembelian peralatan sukan seperti meja ping pong dan alat memanah kepada Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar (SEMESTI), Alor Setar.
KBS turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 lagi kepada persatuan bagi mereka menjalankan aktiviti pembangunan sukan di peringkat sekolah seperti kursus kejurulatihan, kursus asas sukan permainan dan keperluan berkaitan.
Difahamkan, Hannah turut ‘menjemput’ jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei untuk memberi latihan kepada jurulatih ping pong di SEMESTI sebagai persediaan ke pertandingan akan datang.
Ternyata, pemberian dana untuk sukan komuniti dan peralatan sukan berkenaan selaras dengan hasrat mencari bakat kalangan muda yang boleh bersukan dan mengharumkan nama negara.

Dana Sukan Komuniti sememangnya merupakan satu medium berguna ke arah melaksanakan aktiviti yang berfaedah dan menyediakan informasi gaya hidup aktif kepada komuniti setempat.
Atas dasar itu Hannah menggalakkan lebih banyak persatuan merancang pelaksanaan sukan peringkat komuniti tahun ini dan memohon Dana Sukan Komuniti bagi membantu pelaksanaan program tersebut.
Mana tahu, daripada penganjuran sukan peringkat komuniti itu nanti bakal muncul wira, wirawati sukan tanah air satu hari nanti.
Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

