KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023, berbanding RM643.38 bilion pada 2022.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan, pelaburan dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023.
Jelas kenyataan itu, sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), selain lebih kurang 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.
Menurut kenyataan tersebut, penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100 dan 31 peratus untuk saham FBMKLCI.
“Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu.
“Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion.
“Suntikan ini adalah sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset,” jelas KWSP.
Baca juga: KWSP umum dividen Konvensional 5.5 peratus, Syariah 5.4 peratus
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, penyertaan aktif dalam pasaran ekuiti domestik adalah penting dalam misi KWSP untuk mencipta nilai jangka panjang untuk ahli.
Menurut beliau, KWSP akan terus meningkatkan peruntukan kepada pengurus luaran, mempelbagaikan pelaburannya di samping menyokong pertumbuhan pengurus dana dalam negara.
Pertumbuhan keahlian selaras perkembangan pasaran buruh domestik yang positif
Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan, prestasi 2023 KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli yang selaras dengan pasaran buruh Malaysia yang semakin kukuh.
Jelas kenyataan itu, sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.
Menurut kenyataan tersebut, pangkalan ahli aktif KWSP kekal konsisten pada 53 peratus:47 peratus daripada nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada Disember 2023, yang diperoleh daripada nisbah ahli aktif sebanyak 8.52 juta berbanding jumlah ahli pada 16.07 juta.
Jelasnya, peningkatan positif dalam jumlah ahli aktif KWSP berbanding jumlah tenaga buruh Malaysia adalah hasil daripada inisiatif pelebaran liputan KWSP.
Perkara itu menurut Ahmad Badri sekaligus memastikan lebih ramai individu mempunyai akses kepada perlindungan sosial yang sewajarnya dan jaminan pendapatan masa depan, sekaligus memupuk keterangkuman kewangan dan daya tahan yang lebih baik di kalangan masyarakat.
“Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56 bilion, naik sebanyak 15 peratus daripada 2022.
“Kenaikan ini mencerminkan peningkatan dalam kapasiti kewangan ahli berikutan pemulihan pendapatan, pekerjaan dan ekonomi yang progresif.
“Ia juga mencerminkan tahap kepercayaan ahli yang berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan mereka.
“Pendaftaran majikan baharu dicatatkan pada 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 606,187,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

