TIADA lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) lain yang akan mengikuti jejak Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jaminan itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Razali, tindakan ADUN Selat Klang itu dianggap membelot kepada pengundi dan tidak dipersetujui wakil rakyat lain.
Beliau berkata, ADUN Bersatu atau PN di negeri-negeri lain dilihat tidak akan mengikuti jejak langkah Abdul Rashid itu.
“Setakat yang saya tahu tidak ada apa-apa (ADUN lain yang akan lompat).
“Di Terengganu kita ada lima ADUN dan satu ahli Parlimen yang solid (dengan perjuangan parti) kerana kita selalu jumpa dan berbincang.
“Di negeri-negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Perlis juga saya tidak nampak ada masalah kerana negeri di bawah kerajaan kita (Perikatan Nasional). Negeri-negeri lain pun saya lihat tidak ada masalah.
“Hanya Abdul Rashid sajalah yang khianat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sejarah dan kita nampak selepas tindakan beliau semalam (Rabu), 60 ADUN (Bersatu) bersama kita nampaknya tidak bersetuju dengan beliau,” katanya.
Baca artikel lain: Kecuaian Bersatu lambat pinda perlembagaan makan diri, keputusan mungkin ambil masa
Pada masa sama, Razali turut mencabar Abdul Rashid mengosongkan kerusi yang disandangnya itu sekiranya tidak bersetuju dengan perjuangan Bersatu.
Katanya, tindakan menyatakan sokongan kepada kepimpinan parti lawan jelas mengkhianati parti serta pengundi yang memilih mereka.
Semalam, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin selaku Menteri Besar.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.
Jelasnya, keputusan tersebut dilakukan dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti titah ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Langkah ini juga akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional (PN), terutama PN Selangor, yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan dilontar kepada Raja-Raja Melayu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

