PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari kononnya Bersatu Selangor telah dikuasai ‘kartel’ yang membuatkannya menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti berkenaan memiliki peraturan yang perlu dipatuhi dan berjalan berdasarkan Perlembagaan.
Kata beliau, dakwaan Abdul Rashid itu adalah tidak bertanggungjawab dan sengaja mencari alasan setelah melakukan kesilapan besar.
“Tiada kartel, dia kata kartel, parti ini bergerak atas dasar perlembagaan, ada peraturan, Datuk (Abdul) Rashid jadi Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan (Bersatu) negeri, kalau kartel, (maknanya) berkartel dengan dialah.
“Mana ada kartel, jangan cari sebab apabila melakukan kesilapan besar, malah tuduh parti buat itu, satu perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya seperti dilapor BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan cadangan pindaan perlembagaan parti itu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.
Baca artikel lain: Tiada lagi ADUN Bersatu ikut jejak Abdul Rashid alih sokongan
Terdahulu, media melaporkan Abdul Rashid mendakwa Bersatu Selangor dikuasai ‘kumpulan kartel’ dipimpin individu yang baru ‘sehari dua’ menyertai parti berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu menjadi punca beliau menyatakan sokongan kepada Amirudin.
Abdul Rashid turut menolak dakwaan bahawa dirinya ‘merajuk’ kerana dilucutkan jawatan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor.
Sebaliknya, beliau merasakan diri tidak diperlukan parti selepas sembilan tahun bekerja keras menubuhkan Bersatu Selangor.
Sebelum itu, Abdul Rashid membuat kejutan apabila menjadi ADUN pertama Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Amirudin.
Beliau menjelaskan, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

