PENYANYI Afif Tirmizie dan Nikki Palikat berduet menerusi lagu Dugaan Takdir Cinta yang sudah mula diperdengarkan kepada peminat.
Afif yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cat dan Nukilan cukup teruja apabila mendapat tahu akan berkolaborasi dengan bekas peserta All Stars Gegar Vaganza itu.
“Apabila saya dapat tahu akan menyanyikan lagu Dugaan Takdir Cinta bersama Nikki Palikat, saya sangat teruja.
“Kepakaran dan kemahiran vokalnya menjadikan proses rakaman ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Lagu tersebu turut dijadikan sebagai runut bunyi drama Takdir Itu Milik Aku yang sedang ditayangkan di Astro.
Bukan itu sahaja, ini juga merupakan gabungan pertama untuk Afif dan Nikki di dalam sebuah lagu yang merupakan pertanda permulaan yang bersejarah dalam perjalanan muzik mereka.
Nikki mengungkapkan rasa syukurnya kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dalam projek yang bermakna ini.
“Semestinya Nikki gembira dan berbesar hati dengan tawaran ini. Sudah lama Nikki tidak merakamkan sebuah lagu duet.
“Di sini Nikki ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih pada pihak produksi drama dan Sony Music Entertainment Malaysia atas kepercayaan ini.
“Dan Nikki juga berharap peminat-peminat akan suka dengan lagu terbaru ini.” katanya.
Dugaan Takdir Cinta dilancarkan di bawah syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia.
Selain itu, single tersebut turut menerima perhatian khusus dan sentuhan istimewa daripada komposer berbakat, Ejai Aziz dan Kelana.
Penerbit lagu ini juga tidak kurang hebatnya iaitu Rudy Nastia. Manakala liriknya yang mendalam, diilhamkan oleh penulis novel terkenal, Siti Rosmizah, yang juga berperanan sebagai penulis skrip dan penerbit untuk Takdir Itu Milik Aku, semestinya memberikan sentuhan emosi yang mendalam kepada lirik lagu ini.
Menurut Nikki single tersebut memiliki makna yang tersendiri yang membayangkan pasangan tidak jujur dalam perhubungan.
“Bagi Nikki, lagu ini unik kerana ia berbeza dengan lagu-lagu yang berunsur cinta yang lain. Lirik lagu ni menunjukkan ada prasangka yang wujud di antara pasangan yang bercinta. Meskipun mereka ditakdirkan bersama, namun dugaan tetap melanda.
“Nikki sendiri pernah mengalami keadaan seperti ini, jadi lagu ini penuh makna. Apa yang menarik, Nikki juga sangat suka vokal Afif.
“Dalam peringkat demo pun, penghayatan dia tu luar biasa dan menjadikan proses rakaman begitu seronok bagi Nikki. Berkaryalah kami dalam studio tu,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, proses menghasilkan lagu ini telah menghadapi beberapa cabaran semasa penghasilannya dari segi masa, pemilihan penyanyi dan sebagainya.
Namun ia berjaya terhasil dengan meneparti pemintaan pelbagai pihak yang terlibat.
“Apabila mendapat lagu ini, saya telah diberikan tugasan untuk menyesuaikan melodi mengikut citarasa pendengar pada masa kini.
“Hal ini mengambil masa beberapa kali sehingga mencapai kata putus daripada semua pihak.
“Selain itu antara cabarannya adalah, Afif merupakan penyanyi lelaki yang telah dipilih untuk Siti Rosmizah dan mereka menghadapi cabaran atau misi dalam mencari pemilik suara wanita pada ketika itu dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk membuat lagu ini bersama Nikki Palikat yang merupakan naib juara Gegar Vaganza (musim 8) pada 2021,” kongsinya.
Drama Takdir Itu Milik Aku mengisahkan tentang Dian Zara, seorang gadis lurus yang menumpang kasih dengan neneknya. Manakala emak saudaranya, Kamisah tidak henti-henti menyeksa hidupnya.
Dian disuruh menjadi orang gaji sebelum dipaksa kahwin. Episod duka bermula hanya kerana dia hamil anak cacat.
Drama ini juga dilakonkan oleh pelakon yang hebat seperti Emna Maembong, Shaheizy Sam, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Mustaqim Bahadun, Datuk Fauziah Nawi, Mak Engku Farida, Naszsally, Riz Amin, dan ramai lagi.
Lagu Dugaan Takdir Cinta boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

